Page 677 - Proceedings Collega2023
P. 677

Pendahuluan

                       Harta sepencarian merupakan satu unsur unik yang ada dalam budaya masyarakat Nusantara. Ia
               merupakan satu bentuk konsep pembahagian harta di antara pasangan yang berkahwin di mana si suami
               dan si isteri akan memperolehi hak masing-masing sekiranya berlaku sesuatu perkara yang boleh memberi
               kesan ke atas ikatan perkahwinan mereka.
                       Amalan ini dikatakan telah pun wujud sebelum kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu (Tapah,
               1996 dlm Mat Hussin & Daud, 2020). Lebih menarik, ia bukan sahaja diamalkan oleh masyarakat Melayu,
               malah turut dipraktikkan oleh kaum peribumi bukan Muslim di Borneo (Tapah, 1996 dlm Mat Hussin &
               Daud, 2020; Mat Hussin & Abdullah, 2016; Ramli, Mat Hussin & Jamaluddin, 2012).

                       Memandangkan ia merupakan satu amalan yang dikatakan wujud sebelum kedatangan Islam ke
               rantau ini, jadi sejarah dan asal usul bagaimana amalan ini bermula sukar untuk ditentukan dengan tepat.

                       Walaupun ia hanyalah satu amalan yang asalnya bersandarkan kepada adat dan budaya setempat
               yang wujud sejak sekian lama – yakni tidak bersandarkan kepada nas al-Quran atau al-Sunnah, namun
               konsep harta sepencarian diperakui sah di sisi Syariah oleh para ulama Nusantara. Sehingga kini konsep
               harta  sepencarian  ini  masih  diamalkan  dan  diwarisi dalam  budaya  masyarakat  di  alam  Melayu  ini. Di
               Malaysia – seiring dengan peredaran zaman – konsep ini telah diiktiraf dalam enakmen undang-undang
               keluarga  Islam  negeri-negeri  dan  bagi  wanita  Islam  mereka  boleh  membuat  tuntutan  hak  mereka  di
               Mahkamah Syariah.

                       Dalam hal ini, ia merupakan satu bentuk kearifan tempatan yang wujud hasil adunan nilai-nilai
               murni  kehidupan  setempat  yang  kemudiannya  diterap  dan  dijadikan  panduan  kehidupan  sejak  turun
               temurun (Sopa, 2018 dlm Rosele & Ali, 2019) oleh masyarakat Nusantara. Sebagaimana yang dijelaskan
               oleh Marhaendra (2017 dlm Rosele & Ali, 2019) bahawa antara ciri-ciri sesuatu perkara itu boleh dianggap
               sebagai satu kearifan tempatan ialah “ia mampu menyelesai secara baik dan benar sesuatu persoalan dan
               kesulitan yang dihadapi”; konsep harta sepencarian ini menawarkan satu bentuk penyelesaian kepada
               masalah  pembahagian  harta  dalam  kalangan  pasangan  yang  berkahwin  terutama  apabila  berlaku
               pembubaran perkahwinan sama ada disebabkan perceraian atau kematian salah seorang daripada mereka
               atau apabila si suami ingin berpoligami

                       Makalah ini cuba meneliti faktor-faktor yang terdapat di dalam konsep harta sepencarian yang
               membolehkannya diperakui oleh para ulama Nusantara sebagai satu amalan setempat yang diperakui oleh
               syariah.  Pada  masa  yang  sama,  artikel  ini  juga  cuba  mengaitkan  kearifan  tempatan  ini  dengan  aspek
               bagaimana  ia  membantu  dalam  merealisasikan  matlamat-matlamat  yang  ingin  dicapai  oleh  Islam
               menerusi penjagaan harta (hifz al-mal) yang terkandung di dalam doktrin maqasid al-Syariah.

               Harta Sepencarian Dalam Adat Melayu

                       Sejarah  pengamalan  konsep  harta  sepencarian  di  Tanah  Melayu  dikaitkan  dengan  Adat
               Temenggung dan Adat Perpatih. Adat-adat ini berasal daripada utara Sumatera dan ia dibawa masuk ke
               sini sekitar abad ke-15 masehi. Di Tanah Melayu, Adat Temenggung diamalkan di negeri-negeri taklukan
               Melaka kecuali Negeri Sembilan dan daerah Naning – yang berpegang kepada Adat Perpatih. Apabila Islam
               mula tersebar di alam Melayu, adat-adat tersebut kemudiannya diresapi oleh pengaruh agama ini. Malah
               ramai sarjana sejarah mengakui bahawa Adat Temenggung terutamanya banyak dipengaruhi oleh hukum




               International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 664 -
   672   673   674   675   676   677   678   679   680   681   682