Page 679 - Proceedings Collega2023
P. 679
membolehkan dia menuntut haknya ke atas harta tersebut apabila berlaku perceraian hidup atau
perceraian mati.
Harta Sepencarian Dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam
Walaupun konsep harta sepencarian ini merupakan satu konsep yang bertitik tolak daripada adat Melayu,
amalan ini masih berterusan sehingga kini. Seiring dengan perkembangan zaman, adat ini telah
dikanunkan dan di Malaysia undang-undang berkaitan harta sepencarian telah diperuntukkan di bawah
semua Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam di setiap negeri dan juga dalam Arahan Amalan Jabatan
Kehakiman Syariah Malaysia (Ammar & Co, t.t).
Menurut Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984, harta
sepencarian merujuk kepada “harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan
berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara’.” Takrifan yang sama juga
digunakan oleh Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri lain di Malaysia iaitu Kedah, Johor,
Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Terengganu, Melaka, Pahang, Perak, Selangor, Perlis dan Kelantan bagi
menjelaskan konsep harta sepencarian ini (lihat Abu Hassan, 2019; Ahmad, t.t; Tajul Urus, 2017).
Bagaimanapun Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Sembilan memasukkan elemen
perolehan harta sepencarian sama ada secara langsung atau tidak langsung di dalam takrifan yang
digunapakai di negeri tersebut. Takrifan yang digunakan oleh enakmen ini adalah “harta yang diperoleh
bersama oleh suami dan isteri sama ada secara langsung atau tidak langsung semasa perkahwinan
berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak”.
Takrifan semua Enakmen Undang-undang Keluarga Islam ini secara keseluruhannya menyatakan
secara jelas bahawa syarat utama yang membolehkan sesuatu harta itu dikira sebagai harta sepencarian
ialah ia dihasilkan semasa dalam tempoh perkahwinan yang sah. Justeru harta yang terhasil bukan
menerusi perkahwinan yang sah seperti semasa bersekedudukan atau semasa belum berkahwin adalah
tidak termasuk di bawah kategori harta sepencarian.
Selain itu aspek sumbangan langsung dan tidak langsung pihak-pihak dalam mendapat atau
menghasilkan harta merupakan satu unsur penting yang digunakan oleh pihak mahkamah terutamanya
dalam menentukan bahagian pihak berhak terhadap tuntutan yang dibuat. Perkara ini ada disebut dalam
takrifan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Sembilan. Bagaimanapun ini tidak bermakna ia
tidak terpakai untuk enakmen undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri lain. Dalam hal ini selain
daripada sumbangan pasangan dalam bentuk modal atau bantuan kewangan, sumbangan isteri yang tidak
berkerja – yang hanya menjalankan urusan rumah tangga dengan baik sehingga si suami dapat
menjalankan pekerjaan dengan tenang dan berjaya – juga dikira sebagai satu sumbangan yakni sumbangan
tidak langsung. Justeru si isteri berhak menuntut hak sepencarian ke atas harta yang dihasilkan tersebut.
Begitu juga jika si isteri berasal daripada keluarga berpengaruh yang kemudiannya menjadi asbab kepada
penganugerahan individu, projek perniagaan dan sebagainya kepada si suami, maka si isteri turut
mempunyai hak ke atas kekayaan yang terhasil semasa perkahwinan mereka (Ammar & Co, t.t).
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 666 -

