Page 681 - Proceedings Collega2023
P. 681
Mereka terlibat dengan kaum lelaki dalam bidang pertanian seperti bersawah, berladang dan menternak
haiwan (lihat Reid, 1988; Kasim Ahmad, 1981; dan Stivens, 1996 dlm. Ramli, Mat Hussin & Jamaludin,
2012). Peranan ini akan bertambah dua kali ganda sekiranya dia merupakan seorang isteri di mana selain
mengurus rumah tangga, wanita tadi terlibat juga dalam menjana pendapatan keluarga (Ramli, Mat Hussin
& Jamaludin, 2012). Oleh yang demikian, hak kaum wanita dalam mendapatkan bahagian mereka dalam
harta sepencarian adalah suatu hak yang tidak boleh dipertikaikan sama sekali kerana ia mempunyai asas
yang kukuh pada pandangan Islam.
Harta Sepencarian dari Perpektif Maqasid al-Syariah
Dari sudut maqasid al-Syariah terutama yang menyentuh hifz al-mal, keharusan hukum harta
sepencarian ini adalah selari dengan lima unsur yang ingin direalisasikan oleh Islam menerusi matlamat
penjagaan harta ini. Menurut Ibn Ashur (1879-1973), terdapat lima perkara yang disasarkan oleh Syariah
menerusi hifz al-mal ini. Perkara-perkara tersebut ialah rawaj al-amwal (peredaran harta); wuduh
(ketelusan transaksi yang berkaitan harta); hifz (pemeliharaan harta supaya ia tidak berkurangan yakni
perlu ada usaha pengembangan harta); thabat al-amwal (keabsahan terhadap pemilikan harta); dan ‘adl
(keadilan dalam pemilikan harta). Bagaimanapun untuk penulisan ini, tiga perkara yang dilihat sangat
relevan untuk dibincangkan iaitu aspek keadilan, keabsahan dan peredaran harta.
Keharusan hukum harta sepencarian menunjukkan bahawa Islam adalah adil dalam soal pemilikan
harta. Secara umumnya, keadilan dalam harta bermaksud harta tadi dihasilkan menerusi cara yang
diperakui oleh Islam seperti menerusi usaha sendiri atau usaha bersama atau melalui pemberian atau
pewarisan (Mohamad, 2018). Justeru seseorang individu – baik lelaki atau wanita –berhak untuk memiliki
apa-apa harta selagi mana ia dihasilkan menerusi cara yang diperakui oleh Syarak. Ini adalah sejajar
dengan firman Allah swt dalam ayat ke-32, surah al-Nisa’ yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah
berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain
(tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-
orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada
bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada
Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
Hamka (2020) dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat di atas secara jelas menunjukkan bahawa perintah
berusaha bukan untuk lelaki sahaja. Bahkan kaum wanita juga harus berusaha. Selain itu kaum wanita
dianjurkan supaya berusaha dalam bidang yang bersesuaian dengan mereka dan mereka berhak
mendapat imbalan atau hak ke atas usaha yang dilakukan tersebut (Al-Maraghiy, 2001; Hamka, 2020).
Keinginan untuk memiliki harta adalah suatu fitrah semulajadi yang ada pada diri manusia.
Bagaimanapun pada masa yang sama Allah SWT mengingatkan manusia supaya tidak mengguna cara yang
tidak halal untuk memperbanyakkan hartanya. Legitimasi pemilikan harta sepencarian oleh pihak-pihak
yang berhak wujud menerusi usaha bersama yang mereka lakukan bagi menghasilkan harta tersebut.
Malah dalam takrifan harta sepencarian telah disebut bahawa harta tadi perlu memenuhi
keperluan“syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara’.”
Seperti yang dijelaskan sebelum ini, masyarakat Melayu dahulu mengumpul harta menerusi usaha
bertani, berladang dan menternak haiwan. Dalam konteks ini mereka telah memenuhi kriteria pemilikan
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 668 -

