Page 678 - Proceedings Collega2023
P. 678
Syarak dan mazhab yang banyak memberi pengaruh kepada Adat Temenggung ini ialah mazhab Syafie
(Ahmad Rusdi, 2019).
Dalam Adat Temenggung, harta sepencarian merupakan harta yang diperoleh oleh pasangan
suami dan isteri semasa perkahwinan. Sekiranya perkahwinan tersebut telah mencapai usia tiga tahun dan
pasangan tersebut telah mempunyai anak, maka harta itu termasuklah apa-apa harta yang dipunyai oleh
mana-mana pihak sebelum perkahwinan mereka. Secara prinsipnya, dalam Adat Temenggung ini sekiranya
terjadi perceraian atau kematian salah seorang daripada pasangan yang berkahwin, maka kedua-dua pihak
dalam kes perceraian; atau pasangan yang masih hidup dalam kes kematian; berhak mendapat harta
sepencarian (Mat Hussin & Daud, 2020).
Pembahagian harta sepencarian dalam Adat Temenggung adalah berbeza-beza dari satu negeri ke
negeri yang lain. Sebagai contoh, di negeri Perak, si isteri berhak mendapat 1/2 daripada harta sekiranya
dia turut terlibat dalam mengusahakan harta tersebut. Sebagai contoh jika seorang isteri ada
menyumbang usaha dalam mengerjakan tanah, maka dia berhak mendapat separuh daripada tanah yang
diusahakan tadi. Sebaliknya jika dia tidak terlibat, si isteri tadi tetap juga berhak ke atas tanah tadi. Akan
tetapi bahagian yang diterimanya adalah hanya 1/3 sahaja daripada harta tersebut (Taylor, 1937 dlm Mat
Hussin & Abdullah, 2016; lihat juga Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan, t.t).
Sama seperti Adat Temenggung, Adat Perpatih juga turut mempunyai peraturan yang berkaitan
dengan harta sepencarian. Namun prinsip yang digunapakai oleh Adat Perpatih dalam pembahagian harta
sepencarian ini adalah berbeza dengan amalan yang ada dalam Adat Temenggung. Dalam Adat Perpatih
terdapat tiga konsep harta yang diamalkan iaitu harta sepencarian, harta pembawa dan harta dapat.
Ketiga-tiga jenis harta ini akan mempengaruhi pembahagian harta apabila berlaku perceraian hidup atau
perceraian mati (Mat Hussin & Daud, 2020).
Dalam kes harta pembawa – iaitu harta yang dimiliki seseorang lelaki yang diperoleh sama ada
ketika dia masih bujang atau harta yang diberikan oleh ibunya – si isteri tidak berhak menuntut apa-apa
daripada harta tersebut. Ini kerana harta pembawa perlu dikembalikan semuanya kepada suku-suku pihak
lelaki apabila si suami meninggal dunia. Jadi dalam kes bercerai hidup pun, si isteri tidak berhak mendapat
harta tersebut (Mat Hussin & Daud, 2020).
Manakala untuk kes harta dapatan iaitu harta yang dimiliki oleh seorang wanita menerusi
pemberian atau hasil usahanya sendiri sebelum dia berkahwin dengan si suami, harta ini menjadi milik
mutlak sepenuhnya si isteri selepas bercerai walaupun si suami ada terlibat dalam mengusahakan harta
tersebut semasa dalam tempoh perkahwinan mereka. Sekiranya berlaku perceraian mati, harta tersebut
akan diberikan kepada anak perempuan pasangan tadi atau diberikan kepada ahli keluarga atau suku
perempuan tersebut sekiranya pasangan tadi tiada zuriat (Mat Hussin & Daud, 2020).
Bagi harta sepencarian iaitu harta yang diperolehi bersama semasa tempoh perkahwinan, jika
berlaku perceraian hidup, ia hendaklah dibahagikan sama rata di antara kedua suami dan isteri. Jika
berlaku perceraian mati, maka harta tadi akan dibahagi di antara pihak yang hidup dengan anak-anak (Mat
Hussin & Daud, 2020).
Berdasarkan penjelasan di atas, secara ringkas boleh disimpulkan bahawa dalam Adat Perpatih,
sumbangan pasangan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam mengusahakan harta
pembawa dan harta dapatan semasa dalam tempoh perkahwinan tidak diiktiraf sebagai satu unsur yang
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 665 -

