Page 680 - Proceedings Collega2023
P. 680

Satu perkara penting yang perlu juga difahami di sini juga ialah konsep harta dalam Islam adalah
               terpakai dan perlu diambil kira dalam urusan pembahagian harta sepencarian. Ini kerana dalam Islam,
               harta-harta yang dimiliki si isteri sebelum dia berkahwin akan terus menjadi hak mutlaknya walaupun
               selepas  berkahwin.  Perkara  yang  sama  juga  terpakai  kepada  harta  si  suami.  Akan  tetapi  harta  yang
               diperolehi  si  isteri  melalui  titik  peluh  usahanya  tanpa  ada  sumbangan  langsung  atau  tidak  langsung
               daripada di suami adalah tidak termasuk dalam erti harta sepencarian (Abu Hassan, 2019).



                                            Asas Harta Sepencarian Diterima Syariah



               Dalam  kitab-kitab  fiqh  yang  muktabar  tidak  terdapat  satu  perbincangan  yang  khusus  tentang  harta
               sepencarian kerana ia adalah satu konsep pembahagian harta antara suami isteri yang hanya berlaku
               dalam kalangan masyarakat di Nusantara (Abu Hassan, 2019). Amalan ini kemudiannya berterusan selepas
               penyebaran Islam berlaku di rantau ini dan seterusnya diiktiraf sebagai satu adat yang sah oleh ulama
               tempatan.

                       Adat resam yang tidak bertentangan dengan syariah adalah diharuskan dan ia diterima sebagai
               satu sumber hukum syarak. Malah terdapat satu kaedah fiqh (qawaid fiqhiyyah) yang spesifik tentang hal
               ini iaitu al-‘adah muhakkamah (adat diterima sebagai hukum atau adat sebagai sumber rujukan hukum).

                       Kaedah ini banyak digunakan oleh ulama sebagai sandaran kepada hukum yang dibuat ketika
               mana  tiada  nas  atau  dalil  daripada  al-Quran  atau  hadis.  Ibnu  Nujaim  dan  Imam  al-Suyuti  pernah
               menyatakan bahawa adat resam sesuatu bangsa atau kaum yang tidak bertentangan dengan Islam boleh
               diterima pakai sebagai sebahagian daripada peraturan hidup dan perundangan bagi sesebuah negara (Abu
               Hassan, 2018).  Pandangan ini adalah selari dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad yang
               bermaksud “Apa yang dipandang baik oleh kaum muslimin, maka ia juga baik di sisi Allah, dan apa yang
               dipandang buruk oleh mereka, maka ia juga buruk di sisi Allah.”

                       Dalam  penjelasan  lain  konsep  harta  sepencarian  bukanlah  satu  peruntukan  yang  ada  dalam
               undang-undang Islam. Ia merupakan satu bentuk kearifan tempatan yang berasal daripada adat Melayu
               yang diperakui mempunyai nilai hukum oleh cerdik pandai Islam Nusantara (Abdul Rahim et al., 2018).

               Justifikasi Ulama Melayu Dalam Mengharuskan Harta Sepencarian

                       Antara  ulama  Melayu  klasik  yang  membenarkan  konsep  harta  sepencarian  ini  adalah  Syeikh
               Dawud al-Fatani (Abdul Majid, 2020 dlm. Abdul Rahim et al., 2018); Syeikh Arshad al-Banjari dan Syeikh
               Ahmad  b.  Muhammad  Zayn  al-Fatani  (Syeikh  Ahmad,  1377  dlm.  Abdul  Rahim  et  al.,  2018).  Mereka
               berhujah bahawa wanita dalam masyarakat Melayu memainkan peranan bersama dengan kaum lelaki
               dalam  mencari  rezeki  dan  mengumpul  harta.  Peranan  ini  berterusan  semasa  dalam  tempoh  ikatan
               perkahwinan. Oleh yang demikian sumbangan kaum wanita ini diambil kira dalam pembahagian harta
               yang terhasil dalam tempoh tersebut.

                       Hal ini adalah berbeza dengan masyarakat Arab. Dalam budaya masyarakat Timur Tengah kaum
               lelaki mempunyai tanggungjawab mutlak dalam hal mencari nafkah keluarga. Sebaliknya bagi masyarakat
               Melayu dan masyakarat lain di Nusantara, mereka  tidak menganggap peranan tersebut hanya dimainkan
               oleh pihak si suami sahaja. Wanita Nusantara sejak dari dahulu terlibat sama dalam membantu keluarga.


               International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 667 -
   675   676   677   678   679   680   681   682   683   684   685