Page 532 - Proceedings Collega2023
P. 532
Sebahagian besar masyarakat Melayu menganggap mimpi itu penting dan bermakna dalam kehidupan.
Mimpi yang diperoleh semasa tidur (tidur ialah kejadian alam) berlaku secara bawah sedar, maknanya
perlu ditakbir atau ditafsir. Karya sastera juga boleh disifatkan sebagai ‘mimpi’ tetapi dilakukan secara
sedar. Bertepatan dengan proses penciptaannya, sastera juga menyerupai kejadian suatu mimpi. Ia
merupakan suatu kejadian alam yang mempunyai makna atau maksud, yang penemuannya itu hanya
dapat dikerjakan melalui proses takbir atau tafsiran.
Kemisteriannya itu terdapat dalam bentuk corak atau teknik penyampaiannya, seperti
penggunaan bahasa yang berlapis, pemakaian lambang, penamaan dan pemerian sifat watak, serta aspek
penceritaannya yang kompleks. Kemisteriannya itu juga terdapat dalam corak persembahannya,
maksudnya karya sastera itu mengandungi makna di sebalik apa yang berlaku. Ini bererti bahawa sastera
itu mengandungi dua lapis makna, iaitu lapis makna yang tersurat dan lapis makna yang tersirat. Makna
yang pertama adalah jelas, tetapi makna yang kedua memerlukan mata hati, atau pemikiran dan
keintelektualan untuk memahaminya. Hal yang pertama itu dipenuhi dengan penanda atau alamat
tertentu, yang terkandung dalam pemaparan pengisahan dan maklumat pada hasil karya sastera. Dari
lapis yang tersurat ini akan diperoleh makna lain iaitu makna yang lebih besar dalam hasil karya sastera.
Biasanya makna yang tersembunyi itulah yang menjadikan sesuatu hasil karya sastera benar-benar
bermutu (Hashim Awang, 2002). Memahami makna yang tersirat memerlukan pentafsiran (takbir). Kerja
mentakbir atau mentafsir itu dapat dilakukan melalui pemahaman pada penanda-penanda yang terdapat
pada lapis yang tersurat, serta proses berfikir dan menaakul secara kritis dan terbuka yang berpandukan
kepada akal (gerak hati) dan ilmu pengetahuan. Hal ini bermakna untuk memperoleh makna yang tersirat
(petanda) karya sastera itu perlu dicari penanda-penanda atau alamatnya terlebih dahulu (Chong Ah Fok,
2008).
mantera & puisi
(kemisteriannya)
teknik penyampaian/
pendekatan firasat
bahasa berlapis pemakaian lambang corak persembahan
Rajah 1: Kerangka Pendekatan Firasat
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 519 -

