Page 514 - Proceedings Collega2023
P. 514

Melayu, Sultan Muzaffar Shah mempunyai gajah yang diberi nama ‘Juru Demang’, manakala menurut
               Hikayat Seri Kelantan gajah Long Muhammad pula diberi nama ‘Ketitian Balai’ (Mohd Taib, 2004).Gajah
               turut dijadikan haiwan pengangkutan yang penting dalam istiadat menerima dan menghantar utusan.
               Secara tradisinya,sebarang utusan yang diterima atau dihantar kepada kerajaan lain akan diarak dengan
               menggunakan gajah (Azharudin, 2012). Misalnya dalam tradisi membawa surat-surat kerajaan, dicatatkan
               dalam sejarah Melayu ketika Melaka menerima surat daripada Pasai yang mempunyai kedudukan yang
               setara dengan Melaka, surat diarak dengan menggunakan gajah disertakan dengan beberapa kelengkapan
               kebesaran yang lain (MS Raffles, 2009).
                       Semasa pemerintah Long Jaafar, lebih jelas memperlihatkan gajah dijadikan sebagai pengangkutan
               rasmi bagi tujuan mengangkut bijih timah yang mana bijih timah yang telah siap dilebur, dibawa menaiki
               gajah  dengan  cara  mengendong  di  atas  belakang  gajah  tersebut.  Gajah  yang  digunakan  untuk
               pengangkutan itu dinamakan sebagai ‘Kulub Anjeh’ yang berulangalik dari pelabuhan Sungai Limau ke Kota
               Bukit Gantang. Bukan itu sahaja, Long Jaafar iaitu orang yang bertanggungjawab menjumpai bijih timah di
               Larut, turut sama menggunakan gajah sebagai pasukan pertahanan, juga sebagai medium pengangkutan
               dalam setiap urusan sehariannya (Mohd Zamberi, 2001).
                       Selain gajah, haiwan seperti kerbau turut mempunyai hubungan erat dengan masyarakat Melayu.
               Kerbau  bagi  masyarakat Melayu  silam  adalah  punca  bagi  kehidupan  dan  sangat  berkait  rapat  dengan
               pertanian. Hal ini kerana, kerbau merupakan haiwan pengangkutan yang sangat berperanan untuk kerja
               yang  melibatkan  sawah,  yang  bersangkutan  dengannya  dan  juga  turut  berkepentingan  ketika  musim
               menuai yang mana, kerbau juga digunakan untuk mengasingkan padi dari jerami dengan cara kerbau
               tersebut  berjalan  memijak  keatas  padi  yang  baru  dipotong.  Hakikatnya,  kerbau  banyak  memainkan
               peranan  sebagai  medium  pengangkutan  di  sawah  dan  bendang.  Natijahnya,  kerbau  masih  dianggap
               mempunyai  kuasa  tenaga dalam  pertanian kerana selain  hal  membajak  sawah  dan  mengangkut  baja,
               kerbau turut digunakan untuk alat pengangkutan menarik padi selepas usai urusan menuai padi (Mohd
               Zain, 1966). Tenaga kerbau juga sangat diperlukan kerana haiwan ini mempunyai kemampuan membawa
               muatan yang berat. Lantaran itu, kerbau juga pernah dijadikan haiwan yang bertanggungjawab untuk
               menarik kayu balak yang banyak terdapat di tepi-tepi sungai khasnya di kawasan utara dalam masyarakat
               Melayu terutama di Kota Star (Mohd Zain, 1966). Dalam situasi yang lain pula, terdapat beberapa kawasan
               di  Kota  Star  yang  tidak  mudah  untuk  mendapatkan  bekalan  air  menyebabkan  khidmat  kerbau  amat
               diperlukan  terutama  dalam  usaha  untuk  mengangkut  air  bersih  bagi  kegunaan  masyarakat  tempatan.
               Sementara  itu,  pada  musim  kemarau  apabila  perigi-perigi  kering,  sekali  lagi  khidmat  kerbau  sangat
               diperlukan  bertujuan  untuk  mengangkut  air  dari  jalan  besar  ke  kawasan  rumah  masyarakat  Melayu.
               Kerbau juga satu ketika pernah digunakan bagi tujuan kesukanan terutama bagi sukan laga kerbau. Namun,
               kegiatan  tersebut  telah  diharamkan  kerana  dalam  sukan  tersebut  terdapat  pertaruhan  yang  bersifat
               perjudian, yang mana perjudian merupakansatu perkara yang diharamkan dalam agama Islam (Mohd Zain,
               1966).
                       Menyentuh daripada segi perubatan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir 80%
               daripada enam bilion penduduk dunia bergantung kepada haiwan dan tumbuhan sebagai sumber ubatan
               utama (WHO, 1993). Bahan berasaskan haiwan dan tumbuhan bukan sahaja digunakan dalam perubatan
               tradisional, tetapi mempunyai nilai yang tinggi sebagai bahan mentah dalam penyediaan ubat-ubatan
               moden (Jaroli et al., 2010). Menurut Wilson (1995), pada masa kini hampir 40% kandungan bahan ubatan
               diekstrak  semula  jadi  daripada  haiwan,  tumbuhan,  fungi  dan  mikroorganisma.  Malah  di  kebanyakan
               negara Asia, haiwan telah digunakan dalam perubatan tradisional mereka (Bauer, 2009).
                       Penghasilan bahan perubatan berasaskan haiwan dan kesannya ke atas rawatan penyakit pada
               manusia  dikenali  sebagai  zooterapi.  Perubatan  ini  telah  digunakan  sejak  berabad  dahulu  lagi  oleh
               masyarakat  pribumi  dan  juga  Barat  (Costa-Neto,  2005).  Kebanyakan  etnik  pribumi  di  seluruh  dunia
               mempercayai bahan berasaskan haiwan dapat menyembuhkan penyakit tanpa perlu bukti kesahihan dari
               aspek sainstifik dalam penyembuhan penyakit. Haiwan yang digunakan sebagai sumber ubatan tradisional


               International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 501 -
   509   510   511   512   513   514   515   516   517   518   519