Page 512 - Proceedings Collega2023
P. 512
Menurut Azharudin (2022), haiwan sememangnya mempunyai perkaitan dengan ekonomi dan
sosiobudaya orang Melayu. Haiwan telah sekian lama hidup berdampingan dengan manusia di Alam
Melayu, sama ada dalam bentuk fizikal, simbolik dan metafora. Malahan, ikatan antara haiwan dan orang
Melayu juga menjadi sebahagian daripada weltanschauung orang Melayu itu secara keseluruhannya.
Dalam konteks masyarakat di Alam Melayu, hubungan manusia-haiwan dapat dilihat dalam pelbagai
bentuk sama ada haiwan sebagai sumber makanan, haiwan peliharaan, alat pengangkutan dan pekerjaan,
atau menggunakan sebahagian daripada anggota haiwan untuk dekorasi dan perhiasan ruangan. Haiwan
juga turut digunakan sebagai ramuan dalam perubatan. Kesemua ini membayangkan wujudnya satu
bentuk hubungan antara haiwan dengan manusia. Pada tahap awal tamadun manusia, hubungan yang
wujud mempunyai perkaitan langsung dengan keperluan manusia untuk mendapatkan makanan. turut
membekalkan bahan untuk pakaian dan perlindungan, perhiasan mahupun untuk membantu manusia
dalam menjalankan tugas seharian, sama ada sebagai alat pengangkutan, membajak sawah atau sebagai
sumber perubatan. Hal ini bermakna, sejak sekian lama, haiwan mempunyai kepentingan dan nilai yang
sangat besar terutama sebagai sumber makanan, nilai ekonomi, biomedik, genetik, saintifik dan nilai
simbolik. Merujuk nilai simbolik ini, S. Robert Aiken dan Colin H. Leigh menyatakan bahawa haiwan
sememangnya kerap kali digunakan sebagai simbol. Figura harimau menjadi jata negara di Malaysia. Pada
tahun 1977, figura badak telah dijadikan simbol protes khalayak terhadap aktiviti pembalakan haram di
Taman Negara Endau Rompin.
Seorang sarjana dalam bidang pengajian Melayu Profesor Lim Kim Hui menyatakan, haiwan
memainkan peranan penting dalam kehidupan orang Melayu. Kerbau menjadi peneman, pembantu dan
pekerja bagi masyarakat Melayu mengerjakan sawah padi. Ayam betina bertelur dan ayam jantan
berkokok di subuh hari mengejutkan seisi rumah. Kucing dan burung dipelihara sebagai haiwan
kesayangan (Arif, 2020). Di zaman moden kini, khususnya di Malaysia, khidmat haiwan digunakan secara
meluas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melalui
unit anjing pengesan (K9). Ketajaman deria anjing dimanfaatkan untuk membantu menyelesaikan kes-kes
jenayah dan operasi mencari dan menyelamat. Pada Februari 2020 misalnya, seekor anjing bernama Lao
Wu dari Unit K9 PDRM mencipta sejarah menjadi haiwan pertama dianugerahkan Pingat Jasamu Dikenang
oleh Kontinjen Polis Pahang atas kejayaan membantu mengesan sehingga tertangkap seorang suspek
dalam kes curi kenderaan (Arif, 2020).
Hakikatnya, haiwan merupakan antara makhluk ciptaan Tuhan yang mempunyai hubungan yang
sangat rapat dengan manusia secara langsung atau tidak. Malah, orang Melayu turut mempunyai
kepercayaan terhadap haiwan mitosnya tersendiri. Kamus Dewan mendefinisikan mitos sebagai cerita
zaman dahulu yang dianggap benar atau dipercayai, misalnya cerita asal usul, cerita kewujudan sesuatu
bangsa, kejadian alam atau cerita dongeng mengenai kehebatan seseorang tokoh. Terdapat pelbagai jenis
haiwan yang mewarnai latar sejarah masyarakat silam yang dikira penting daripada pelbagai sudut
pandang misalnya seperti gajah, kerbau, kuda, lembu, kambing, ayam dan itik. Hakikatnya, sejak zaman
kanak-kanak, kisah-kisah haiwan menjadi santapan minda orang Melayu terutamanya kisah kecerdikan
sang kancil. Kisah-kisah sebegini telah menyebabkan kanak-kanak Melayu membesar bersama-sama
“haiwan-haiwan” tersebut (Azharudin, 2022).
Berikut disenaraikan beberapa contoh tentang haiwan kalangan masyarakat Melayu (The Patriots,
2019).
i) Hikayat Sang Kancil
Ini antara yang popular dan telah dikomersilkan dalam bentuk visual pada zaman moden (1980an). Hikayat
Sang Kancil yang mengandungi kira-kira 20 cerita. Cerita ini mengisahkan mengenai sang kancil yang
memperdayakan binatang lebih besar yang bersifat sombong dengan menggunakan kebijaksanaan yang
ada padanya. Cerita binatang tujuannya bukan sekadar untuk menghibur tetapi juga untuk memberi
pengajaran yang baik supaya dapat diambil oleh para pembacanya.
ii) Naga Tasik Cini
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 499 -

