Page 511 - Proceedings Collega2023
P. 511
METODOLOGI
Kaedah kajian adalah berteras kajian perpustakaan yang mana maklumat/data sekunder berkaitan
keakraban hubungan Orang Melayu dengan haiwan diperolehi daripada pelbagai sumber sekunder seperti
jurnal, buku, bab dalam buku, prosiding, akhbar dan laman sesawang.
DAPATAN KAJIAN
(i) Alam Semula Jadi Sebagai Unsur Kearifan Tempatan
Pesurnay (2018) menjelaskan kearifan tempatan sebagai fenomena yang membentuk keupayaan ahli
dalam masyarakat yang bergantung kepada sumber alam semula jadi di sekeliling mereka, untuk
memanfaatkan sumber tersebut bagi meneruskan kelangsungan kehidupan dalam persekitaran tempat
tinggal. Hal ini bermakna, kearifan tempatan juga adalah perlakuan yang positif manusia hasil daripada
hubungannya dengan alam yang menjadi rujukan untuk membentuk hubungan manusia dengan alam. Hal
ini sejajar dengan pendapat Mohd Koharuddin (2003) bahawa masyarakat Melayu mempunyai ilmu
pengetahuan yang tinggi dalam merawat, mengubati, mengatasi sakit demam dan menggunakan alam
tumbuhan semula jadi untuk ramuan pengubatan.
Dalam kehidupan masyarakat Melayu juga, mereka terdedah dengan persekitaran yang dilingkungi
hutan rimba, kebun, ladang, sungai dan laut. Masyarakat Melayu juga menternak haiwan peliharaan
seperti ayam, itik, lembu kambing dan sebagainya. Perkongsian hidup mereka dengan haiwan ini dengan
sendirinya menjadikan mereka lebih mengenali tabiat dan ciri haiwan tersebut sehinggakan begitu banyak
perlakuan dan tabiat tentang haiwan ini terakam dalam peribahasa. Wan Abdul Kadir dalam Lim Kim Hui
(2005) menyatakan: ...orang-orang Melayu dapat memahami perlakuan-perlakuan haiwan di sekeliling
mereka. Perlakuan haiwan itu akan menjadi sindiran pula kepada manusia. Seorang yang dinyatakan
secara perbandingan dengan jenis-jenis haiwan tertentu itu dapat memahami akan maksudnya.
Pernyataan yang simbolis itu telah menjadi sebahagian daripada budaya Melayu yang diwarisi sejak
beberapa lama dahulu.
Hakikatnya, walaupun masyarakat Melayu pada zaman dahulu tidak mendapat pendidikan formal
hingga ke peringkat universiti, tetapi alam sekeliling mereka merupakan universiti yang terbaik bagi
mereka mengajar tentang kehidupan. Mereka mampu mengungkapkan rantaian ilmu berdasarkan
pemerhatian terhadap persekitarannya. Inilah yang dikatakan alam terkembang dijadikan guru (Wan
Norasyikin, 2021).
(ii) Haiwan Dalam Masyarakat Melayu
Orang Melayu sememangnya akrab dengan alam. Dalam pemahaman orang Melayu, alam
sebagai sumber budaya bendawi wajar dimanfaatkan untuk kepentingan mereka. Lebih penting lagi,
interaksi dengan alam bukan sekadar melahirkan pengalaman kehidupan tetapi juga pelbagai bentuk
kebijakan tempatan sama ada pepatah-petitih, pantun, perumpamaan dan sebagainya. Menurut Zainal
Borhan, “seluruh khazanah falsafah sosial ini lahir dari pengamatan manusia terhadap alam”. Mereka
bukan sahaja mengetahui secara mendalam tentang flora, khasiatnya serta fungsinya. Mereka juga
mengetahui segala jenis haiwan yang ada di dalam hutan, air, unggas dan serangga yang berterbangan di
udara (Azharudin , 2022).
Kedekatan dengan alam membolehkan mereka melakukan pelbagai aktiviti di hutan. Setiap hari,
antara aktiviti utama mereka termasuklah pergi ke hutan untuk memburu haiwan liar seperti kijang, rusa,
kancil, ayam, burung dan sebagainya. Sebahagiannya untuk dijadikan hidangan sementara sebahagiannya
lagi untuk keperluan lain seperti burung yang dibela atau dijadikan barang pertukaran. Mereka juga pergi
ke sungai untuk menangkap ikan dan semua kegiatan ini menjadikan orang Melayu akrab dengan
persekitaran mereka.
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 498 -