Page 510 - Proceedings Collega2023
P. 510

Dalam  banyak  kes,  kearifan  tempatan  diwarisi  melalui  tradisi  lisan.  Ini  termasuk  penerapan
               kearifan  tempatan  dalam  bahan-bahan  sastera  seperti  cerita,  legenda  dan  lagu.  Selain  itu,  kearifan
               tempatan juga diwarisi melalui bentuk mitologi, seni visual, perundangan adat dan bahasa (Turner et al.,
               2000). Justeru, kearifan tempatan diletakkan pada tingkat tertinggi yang lahir daripada gabungan ilmu,
               pengalaman, kreativiti, kepandaian dan ilham yang menjadi panduan kepada masyarakat (Mu Xiuping &
               Kissya, 2010; Geerts, 2007). Ia adalah hasil pemikiran yang boleh diterima secara logik dan rasional dan
               boleh diuji keberkesanannya secara saintifik (Bates, 2009; Warren, 1996)  selain sarat dengan nilai-nilai
               positif secara tersurat dan tersirat.
                       Menurut Ajip (2011), H.G. Quaritch Wales adalah yang pertama memperkenalkan istilah kearifan
               tempatan:  “Saya  rasa  istilah  kearifan  tempatan  merupakan  terjemahan  dari  local  genius  yang
               diperkenalkan  pertama  kali  oleh  Quaritch  Wales  (1948-1949),  dengan  erti  kemampuan  kebudayaan
               setempat dalam menghadapi pengaruh kebudayaan asing ketika kedua-dua kebudayaan itu bertembung.”
               Namun,  antara  tokoh  awal  yang  mengingatkan  masyarakat  tentang  kearifan  tempatan  adalah  Clifford
               Geertz dalam bukunya yang diterbitkan pada tahun 1983 yang bertajuk “ Local Knowledge: Further Essays
               in Interpretive Anthropology “. Menurut Geertz, wujud kepintaran dan kemahiran hasil daripada respons
               masyarakat terhadap keadaan sosial dan persekitaran alam yang sentiasa berubah. Maka, beliau turut
               menegaskan, kearifan tempatan berkisar tentang kemahiran dan keupayaan yang diperoleh dan digunakan
               oleh  masyarakat  setempat  bertujuan  menyelesaikan  permasalahan  setempat  yang  mana  ianya
               bersesuaian dengan situasi tempatan.
                       Haiwan mempunyai peranan yang penting dalam menyambung kitaran hidup alam ini. Penemuan
               fosil  membuktikan  hubungan  antara  manusia  dan  haiwan  wujud  sejak  setengah  juta  tahun  dahulu
               (Messent dan Serpell, 1981). Haiwan di dalam alamnya yang tersendiri mempunyai perasaan, terasa bila
               disakiti  dan  mempunyai  bahasa  pertuturannya  yang  tersendiri.  Sejak  zaman  Pleistocene  lagi  manusia
               menjadikan  haiwan  sebagai  buruan.  Manusia  mula  mempelajari  kehidupan  bermasyarakat  secara
               bertempat kira-kira 10,000 tahun sehingga mempengaruhi hubungan mereka dengan haiwan (Salisbury,
               1994;  Parascandola,  1995).  Sejak  itu,  manusia  mula  mempelajari  secara  mendalam  tentang  haiwan
               daripada segi  perlakuan (behavior), makanan, kadar pertumbuhan, pembiakan, penyakit dan sebagainya.
               Kerapatan hubungan antara manusia dan haiwan terus kekal sehingga ke hari ini sehingga memberi kesan
               terhadap kehidupan masing-masing.
                       Fenomena  ini  juga  berlaku  kalangan  masyarakat  Melayu  yang  diketahui    sememangnya  akrab
               dengan  alam.  Antara  kearifan  tempatan  yang  dapat  dikaitkan  dengan  masyarakat  Melayu  tradisional
               adalah kepercayaan dan hubungkait mereka dengan haiwan. Catatan daripada naskhah Sejarah Melayu
               antara  sumber  yang  bertanggung  jawab  memperlihatkan  betapa  sejak  sekian  lama  hubungan  antara
               masyarakat Melayu dengan haiwan telah terjalin. Masyarakat Melayu tradisional khususnya mempunyai
               kisah  dan  kepercayaan  mereka  tersendiri  tentang  haiwan  yang  menjadi  sebahagian  daripada  warisan
               budaya mereka. Rentetan itu, mereka mengetahui secara mendalam tentang haiwan yang mana hubungan
               ini dapat dilihat dalam pelbagai bentuk sama ada haiwan sebagai sumber makanan, haiwan peliharaan,
               alat  pengangkutan  dan  pekerjaan serta  ramuan  dalam  perubatan.  Sebagai  contoh,  mereka  cukup  arif
               tentang haiwan liar di hutan, iaitu yang mana dapat diburu dan dimakan dagingnya atau yang mana tidak
               dapat dimanfaatkan, malah merosakkan tanaman dan membahayakan diri mereka.

               OBJEKTIF KAJIAN
                       Kajian mempunyai dua objektif iaitu:
                   (i)    Melihat keakraban hubungan Orang Melayu dahulu dengan haiwan melalui apa yang dikenali
                          sebagai kearifan tempatan.
                   (ii)   Membuktikan keakraban hubungan Orang Melayu dengan haiwan melalui sokongan
                          daripada data/maklumat daripada sumber sekunder seperti jurnal, buku, bab dalam buku,
                          prosiding, akhbar dan laman sesawang.


               International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 497 -
   505   506   507   508   509   510   511   512   513   514   515