Page 456 - Proceedings Collega2023
P. 456
Rangkap pembayang dalam pantun di atas memberi pendekatan moral tentang kesan sifat sombong dalam
tata kelola perhubungan seharian kerana riak muka dan komunikasi bukan verbal yang dibuat oleh seseorang itu ada
ketikanya akan menghantar isyarat yang kurang menyenangkan kepada individu lain yang ingin berkomunikasi secara
bersemuka dengannya. Justeru itu, teras perhubungan interpersonal yang sihat telah diterapkan dalam mesej pantun
warisan.
Pantun Melayu warisan dapat juga dikaji dari Pengkaedahan Keagamaan. Pengkaji pantun telah
lama mengakui dan cuba mempertahankan nilai pantun Melayu yang mempunyai elemen pemikiran
berteraskan hukum agama. Kedekatan orang Melayu dengan agama Islam jelas terlihat dalam segenap
elemen budaya yang melingkungi kehidupan mereka, termasuklah jenis pantun yang digunakan.
Pantun berikut telah disiarkan oleh laman Facebook DBP dan aplikasi Telegram DBP yang jelas
mengenengahkan pesanan keagamaan:
Usah menuba di tengah hari,
Patah kemudi diganti galah;
Usah berhiba meratap diri,
Berserah diri kepada Allah.
(Khazanah Pantun Melayu Riau DBP 2007; hantaran pada 11 Ogos 2023)
Melalui rangkap maksud dalam pantun di atas, individu diingatkan supaya tidak keterlaluan dalam
bersedih, sebaliknya perlu menyerahkan diri kepada Allah. Mengikut Hashim Awang (1994: 333), karya
sastera boleh dianalisis mengikut Pendekatan Dakwah. Pantun seperti dalam kutipan di atas adalah wadah
untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah. Biarpun mempunyai sifat yang kompak dan terhad,
kesesuaian pemilihan kata yang padat dan tepat telah berfungsi seakan-akan kitab yang menjadi sumber
rujukan kepada masyarakat.
Kesimpulan
Elemen kreativiti dan pemikiran dalam pantun Melayu adalah petunjuk kepada kearifan tempatan dalam
seni berbahasa yang diwarisi sejak zaman berzaman dan turut menjadi bukti kemahiran komunikasi
strategik yang dimiliki oleh umat Melayu sejak dahulu. Keupayaan pantun untuk terus kekal sehingga kini
membuktikan ianya adalah hasil kebijaksanaan silam yang mampu merentas masa dan sempadan geografi.
Peranan pelbagai pihak adalah sama penting dalam memartabatkan dan mengekalkan warisan ini selama
yang mungkin. Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia telah melakukan amanah ini dengan jayanya.
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 443 -