Page 1055 - Proceedings Collega2023
P. 1055
Jihad Pendidikan
Unsur pendidikan, khususnya istilah jihad pendidikan merupakan satu unsur kearifan pemikiran
pengkarya remaja. Jihad pendidikan merupakan satu konsep penting dalam pembangunan masyarakat.
Dalam konteks kajian ini, penulis puisi yang dalam usia remaja telah memahami bahawa pendidikan adalah
sebahagian daripada konsep jihad, iaitu usaha dan perjuangan yang diredai Allah SWT. Jihad bukan sahaja
dalam bentuk peperangan, sebaliknya konsep jihad merangkumi usaha untuk menuntut ilmu bagi
membina peradaban yang tinggi. Tiga contoh berikut menunjukkan konsep jihad pendidikan dan
kepentingan ilmu.
1. Jihad ini (pendidikan) mesti diteruskan
Kelak di sana disoal Tuhan. (Ogos 2023)
2. Muatan bagasi yang terisi kitab
Bukannya beban tetapi pedoman. (September 2023)
3. Biar compang-camping di luaran
Asal mewah hati dalaman. (September 2023)
Pemuisi dalam contoh 1 di atas menggunakan istilah jihad pendidikan untuk menggambarkan
bahawa pendidikan ialah jihad. Dalam contoh tersebut, pemuisi menyeru agar jihad pendidikan atau
menuntut ilmu perlu diteruskan. Hal ini kerana penulis puisi tersebut memahami bahawa menuntut ilmu
merupakan kewajiban kepada setiap hamba Allah SWT. Menurutnya, sesiapa yang tidak menuntut ilmu,
mereka akan dipersoalkan di akhirat kelak. Contoh 2 dan contoh 3 dipetik daripada puisi yang sama, iaitu
puisi yang bertajuk Kaki yang Melangkah keluaran September 2023. Contoh 2 dan 3 menunjukkan pelajar
meneruskan perjuangan untuk menuntut ilmu walaupun terdapat halangan yang perlu ditempuhi
sepanjang proses tersebut. Pengkarya sanggup berkorban untuk melanjutkan pelajaran dan memperoleh
ilmu di menara gading. Situasi ini dibuktikan apabila pengkarya berkorban dengan membawa bahan
rujukan yang diperlukan bagi memastikan beliau dapat memahami ilmu yang diajarkan oleh pensyarahnya.
Pengkarya juga menggunakan sepenuh tenaganya untuk menuntut ilmu walaupun terpaksa mengharungi
pelbagai dugaan seperti keletihan dan situasi yang tidak dapat dijangkakan. Selain itu, pengkarya juga
menunjukkan bahawa ukuran bagi individu yang berilmu itu bukanlah diukur melalui aspek luaran sahaja.
Ilmu yang dimilikinya dimanfaatkan dalam situasi yang bersesuaian dan bertindak mengikut norma-norma
kehidupan dalam masyarakat.
Unsur Doa
Doa merupakan permintaan manusia kepada Allah SWT. Doa menunjukkan manusia bergantung
penuh pada Allah SWT. Seruan berdoa yang diterapkan dalam puisi menggambarkan kearifan penulisnya
kerana menyedari bahawa doa merupakan senjata utama bagi umat penganut Islam ketika dalam
kesusahan. Dengan perkataan lain, karya yang mengandungi amalan doa memberikan keinsafan bahawa
manusia adalah makhluk yang lemah dan hanya Allah tempat bergantung segala sesuatu. Banyak penanda
linguistik yang menunjukkan amalan berdoa, antaranya ialah kupohon doa, memanjatkan doa, semoga
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page 1042

