Page 1057 - Proceedings Collega2023
P. 1057
Ketakwaan
Ketakwaan merujuk kepada kepatuhan atau ketaatan terhadap perintah Allah SWT, dan menjauhi
segala larangan-Nya. Ketaatan terhadap perintah Allah SWT akan membentuk keperibadian yang terpuji.
Pengkaji mendapati unsur ketakwaan yang diterapkan ke dalam puisi dan hal ini menggambarkan kearifan
pemuisi. Ketaatan kepada segala perintah Allah akan membawa manusia kepada kejayaan hidup di dunia
dan akhirat. Menyedari hakikat ini, pemuisi mengangkat nilai ketakwaan melalui karya yang bertemakan
kejayaan. Hal ini dapat dilihat melalui petikan puisi berikut:
1. Hari ini, bintang itu kugilap
Kusadurkan dengan semangat dan ketakwaan
Sehingga menjadi sebuah kejayaan. (Julai 2023)
Contoh 1 di atas dipetik daripada puisi Segenggam Kejayaan, karya Nur Halimatul Takhirah Cheh
Ismail, pelajar Universiti Putera Malaysia. Secara umumnya, puisi tersebut berkaitan dengan usaha untuk
mencapai kejayaan. Pemuisi di atas menunjukkan bahawa semangat tidak cukup untuk mencapai kejayaan
yang sebenar. Sebaliknya, semangat yang tinggi digabungkan dengan ketakwaan kepada Allah untuk
mencapai kejayaan yang sebenar, iaitu kejayaan dunia dan akhirat. Nilai ketakwaan dalam puisi tersebut
menggambarkan kearifan kerana menyedari bahawa kejayaan sebenar hendaklah ditunjangi ketakwaan
kepada Allah SWT. Tanpa ketakwaan atau ketaatan kepada Allah, kejayaan yang dicapai hanya kejayaan
sementara sahaja dan tidak mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT.
Keikhlasan
Konsep keikhlasan yang diterapkan dalam puisi juga merupakan manifestasi kearifan pemuisi.
Ikhlas ialah satu nilai Islam yang sangat penting dalam kehidupan. Amalan yang dilakukan tanpa hati yang
ikhlas menjadikan amalan terbatal atau tidak akan diterima sebagai satu amalan mulia. Perbuatan yang
dilakukan tanpa keikhlasan diibaratkan sebagai paksaan kepada diri sendiri (Wan Razali, 2016). Keikhlasan
merupakan sifat yang positif kerana hati yang ikhlas akan memancarkan aura yang positif di wajah. Konsep
ikhlas merupakan sesuatu yang mudah diungkapkan tetapi sukar untuk dilakukan. Dalam kajian ini,
pengkaji menemui dua puisi yang menerapkan konsep keikhlasan. Pertama ialah konsep ikhlas yang
diterapkan oleh Ain Batrisyia Shakura Anwar melalui puisinya Ukiran Senyuman. Ain Batrisyia Shakura
merupakan pelajar Sekolah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SJK), Yu Hua Kajang Selangor. Konsep
keikhlasan yang kedua diterapkan oleh Siti Rahah Sanus dari Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman.
1. Ikhlas bukan melepaskan harapan dengan air mata
Namun merelakan harapan dengan senyuman. (September 2023)
2. Cinta lahir dengan hati yang ikhlas. (Ogos 2023)
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page 1044

