Page 1013 - Proceedings Collega2023
P. 1013
hidup tradisi. Selain itu pengkaji seperti Rachagan (2009), Hooker (1996), Rohaida, et al (2013), Azima et al
(2016) menyatakan terdapat beberapa kelemahan yang terdapat dalam sistem perundangan negara
menyebabkan usaha mewartakan tanah sebagai kawasan rizab Orang Asli sering bermasalah. Hal ini kerana
walaupun Pelembagaan Malaysia menyediakan peruntukan di bawah Artikel 8 (5) (c) tentang mewujudkan
Kawasan Rizab Orang Asli, Namun di bawah (Jadual 9, Senarai Negeri No. 2), segala urusan yang menyangkut
tanah adalah terletak di bawah bidang kuasa legislatif dan eksekutif sesebuah negeri (Rachagan 1990;
Hooker 1996; Hasan Mat Nor 1996). Maksudnya urusan pentadbiran Orang Asli adalah dibawah bidang
kuasa Kerajaan Persekutuan, manakala kuasa mewartakan sesebuah kawasan sebagai Tanah Rizab Orang
Asli adalah dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri (Ramle, et al 2020). Orang Asli hanya dianggap sebagai
penyewa (mere-tenants) terhadap tanah nenek moyang dan tiada hak milik sah diberikan kepada mereka
serta hak Orang Asli boleh dibatalkan melalui pengambilan tanah pada bila-bila masa sahaja oleh Kerajaan
Negeri (Noor ‘Ashikin Hamid, Noraida Harun & Nazli Ismail @ Nawang, 2011). Sehubungan itu, menurut
Hasan (1996) Ramle (2020) dan Izzati Wook et al (2020) berpandangan Akta 134 hendaklah diberikan nafas
baru atau dipinda untuk membantu generasi baru Orang Asli untuk terus berkembang dengan lebih baik
mengikut arus pembangunan semasa.
Konflik Tanah Orang Asli dan Peribumi
Status tanah dalam kehidupan Orang Asli memandangkan masyarakat Orang Asli sudah lama
terlibat dengan aktiviti pertanian, mereka memiliki perspektif tersendiri tentang pemilikan tanah yang
dikategorikan beberapa jenis seperti tanah saka, tanah adat dan Tanah Rizab Orang Asli (TROA) (Hasan Mat
Nor 1991). Bagi mereka tanah adalah milik komuniti yang memberikan mereka hak untuk memburu,
mengumpul dan mengusahakannya dan tidak memilikinya secara peribadi dan mewariskannya juga secara
peribadi kepada anak-anak (Carey, 1976; Dentan, 1968). Hak terhadap tanah adalah sangat penting kerana
majoriti Orang Asli yang terdapat di seluruh dunia masih lagi mengamalkan cara kehidupan tradisional yang
sangat bergantung kepada sumber alam semulajadi yang terdapat di persekitaran mereka (Zainal Zulhilmi
Zainal Abidin & Seow Ta Wee, 2013).
Akibat pemilikan tanah saka yang tiada pengiktirafan oleh undang-undang, maka pemilik tanah saka
akan lebih terdedah kepada risiko konflik pengambilan balik tanah. Menurut Noor Ashikin et. al (2011), isu
pengambilan tanah saka merupakan salah satu ancaman dan kebimbangan kepada masyarakat Orang Asli
dan peribumi. Hal ini disebakan dalam undang-undang Malaysia hak-hak komuniti Orang Asli dan peribumi
terhadap tanah tidak digubal secara formal (Azima Abdul Manaf et al, 2015). Sebaliknya, Kanun Tanah
Negara 1965 menjadi sistem perundangan berkaitan tanah yang dikanun secara formal sahaja. Kepentingan
pemilikan terhadap tanah hanya diberikan kepada pemilik yang mendaftarkan pemilikannya pada Kerajaan
Negeri (Azima Abdul Manaf et al, 2015). Sebaliknya, tanah adat yang diwarisi dari generasi ke generasi
melalui tradisi tidak termasuk dalam sistem pendaftaran tanah mengikut undang-undang tanah Malaysia
kerana ianya diletakkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri sedangkan Kerajaan Persekutuan tidak
mempunyai kuasa tersebut. Dalam urusan tanah ini juga, Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk
mengambil sebarang tanah, termasuk tanah yang didiami oleh komuniti Orang Asli dan peribumi untuk
kepentingannya (Ramle et al, 2020). Kesan daripada perundangan tersebut, maka risiko tanah saka untuk
diambil balik adalah tinggi terutama untuk tujuan tuntutan pembangunan ekonomi (Noor Ashikin et. al,
2011).
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page 1000

