Page 939 - Proceedings Collega2023
P. 939
Bayaran masuk bagi orang awam untuk ke Muzium Johor Lama ini adalah percuma dan beberapa
kemudahan lain turut disediakan seperti tempat letak kenderaan, lawatan berpandu serta tandas awam.
Dari segi strategi pelestarian fizikal dan sosial muzium, muzium ini melaksanakan kerja-kerja
penganalisian, penyelidikan, rawatan serta pemeliharaan koleksi muzium. Muzium ini juga menjalankan
kerja-kerja pencegahan kerosakan dan membaikpulih artifak serta pemantauan sistem kawalan suhu,
kelembapan, pencahayaan dan makhluk perosak bagi menjaga nilai bahan pameran yang berharga. Dari
aspek pegawai dan kakitangan muzium pula, organisasi muzium ini menyediakan latihan dan khidmat
nasihat mengenai konservasi kepada kakitangannya dan agensi berkaitan. Bagi urusan pentadbiran,
Jabatan Muzium Malaysia merupakan pihak yang terlibat rapat dalam urusan mentadbir dan
menyelenggara muzium ini.
Muzium Kota Kuala Kedah
Gambar 5: Muzium Kota Kuala Kedah
Sumber: Jabatan Muzium Malaysia
Muzium Kota Kuala Kedah dibina di Kota Kuala Kedah atau Kuala Bahang yang terletak di tebing
utara muara sungai Kedah. Sebuah pintu gerbang telah dibina di bahagian tembok timur menghadap ke
Alor Melaka dikenali dengan nama “Pintu Gerbang Kadapuri”. Kota Kuala Kedah pernah diserang oleh
Bugis, Acheh dan Siam. Dalam tahun 1909, apabila Kedah dengan rasminya diletak di bawah penguasaan
British beberapa buah pejabat kerajaan telah dibina di dalam kawasan kota ini, termasuklah rumah api.
Sebuah lagi pintu gerbang baru telah dibina di mana ianya masih wujud sehingga ke hari ini. Semasa
kependudukan Jepun di Tanah Melayu, Kota ini dijadikan sebagai markas tenteranya sehinggalah
kekalahan mereka kepada British dalam tahun 1945. Pada 31 Ogos 1978, kota ini telah diwartakan oleh
Jabatan Muzium dan Antikuiti sebagai “Tapak Tanah Bersejarah” mengikut peruntukan “Akta Benda Purba
1976” di bawah akta 165. Dalam bulan November 2000 Jabatan Muzium dan Antikuiti telah melaksanakan
kerja-kerja konservasi tembok timur dan selatan, termasuk membina semula pintu Gerbang Kacapuri yang
telah runtuh tahun 1970.
Muzium ini membahagikan galeri pamerannya kepada enam segmen utama iaitu pengenalan,
sejarah, fungsi Kota Kuala Kedah, Zaman British, Zaman Jepun dan Zaman Selepas Merdeka. Muzium Kota
Kuala Kedah ini memperagakan 60 buah koleksi artifak arkeologi, seramik dan batu bata asal kota. Koleksi
menarik yang dipamerkan di muzium ini ialah 13 buah peluru meriam dan enam buah meriam buatan
Inggeris yang berusia lebih 100 tahun. Selain itu, terdapat artifak yang dipanggil ‘Pelita’ ditemukan semasa
penyelidikan arkeologi dan kerja-kerja konservasi tembok timur berhampiran pintu gerbang Kacapuri.
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 926 -

