Page 892 - Proceedings Collega2023
P. 892
“Pemilihan masjid warisan ini bukan dibuat dengan begitu sahaja. Ianya perlu melalui proses
penilain yang mendalam dari Jabatan Warisan Negara. Bukan senang untuk mendapatkan status
ini. Apabila dah dapat, kita perlulah hargai dan jaga sebaik mungkin. Bangga saya dengan
pengiktirafan ini.”
Informan 2
c. Memahami penyelenggaraan sebagai tunjang lestari Masjid Warisan
Jabatan Warisan Negara walaupun memainkan peranan yang besar dalam proses konservasi
bangunan/masjid warisan, jabatan ini juga mempunyai kekangan, terutamanya dari segi kewangan.
Peruntukan kewangan yang besar diperlukan untuk melakukan sesuatu pembaikan dan pemuliharaan
bangunan yang termasuklah masjid warisan terutamanya dalam mendapatkan bahan-bahan asli untuk
sesebuah bangunan dan masjid. Informan 1 turut berkongsi pengalaman mengenai kos pembaikan masjid
Ihsaniah Iskandariah.
“Pembaikan yang dilakukan pada kali pertama menelan belanja yang agak besar, hampir
mencecah RM1 juta ringgit. Terlalu banyak kerosakan yang perlu diperbaiki. Anyaman kelarai
perlu dibuat oleh penganyam yang mahir dan pada ketika itu (penganyam) hanya ada di Perlis.
Pembaikan kali kedua walaupun tidak menelan belanja yang tinggi seperti kali pertama…namun
kosnya tetap tinggi, iaitu RM200 ribu.”
Informan 1
Pengurusan monumen warisan tidak dapat mengenepikan keperluan kepada perlunya sokongan
kewangan kerana pelbagai faktor akan mempercepatkan proses kerosakan, terutamanya jika ia melibatkan
faktor masa dan cuaca yang berpotensi menjadikan setiap bangunan akan rosak (Fatimah et al, 2011).
Oleh itu, kerja-kerja penyelenggaraan berjadual adalah penting terutamanya dalam menjaga kualiti
struktur bangunan warisan secara berterusan. Pihak berkuasa dan penjaga monumen perlu cakna dan
memantau perubahan atau kerosakan waima yang sekecil manapun kerana faktor jangka hayat bangunan
dan bahan yang sangat rapuh.
d. Keperluan pengetahuan lengkap untuk menyantuni pelancong warisan
Di tempat-tempat tertentu kegiatan pelancongan berkaitan warisan sejarah telah menjadi semakin
penting terutama dengan perkembangan pelancongan warisan (Urry, 1990). Mencari pengalaman yang
asli(authentic) merupakan fokus kepada pelancong yang berminat dengan sejarah (MacCannel, 1976).
Walaupun dapatan ini sudah agak lama, pengalaman negara seperti Indonesia dan Mesir yang mempunyai
artifak yang menarik perhatian pelancong warisan perlu diberi perhatian. Pihak berkuasa seperti agensi
kerajaan terbabit perlu mengadakan lebih banyak seminar/bengkel untuk mendekati dan memahami cita
rasa penggemar bangunan warisan/bersejarah agar kerja pembaikan dan pemuliharaan yang
dilaksanakan dapat memberi manfaat kepada orang ramai dan bukan sekadar dibiarkan begitu sahaja
setelah diperbaiki atau dipulihkan.
Masjid Ihsaniah turut menerima pelawat yang tidak menentu kehadiran mereka. Namun kehadiran
dan bukti kedatangan mereka tetap direkodkan di dalam buku pelawat (perlu ditandatangani).
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 879 -

