Page 887 - Proceedings Collega2023
P. 887

berkenaan.  Konservasi bangunan di Malaysia telah lama diamalkan, walaupun ia menjadi lebih dikenali
               mutakhir  ini.  Ia  bermula  agak  lewat  berbanding  dengan  negara-negara  maju  di  Eropah  yang  terkenal
               dengan  komitmen  yang  tekal  dalam  menjaga  bangunan  warisan  mereka  (Ahmad,  1994,  Harun,  2005,
               Kamal, 2007).

                       Warisan adalah legasi silam yang masih digunakan dan diwarisi dari generasi ke generasi. Ia boleh
               terdiri daripada warisan kebudayaan dan semula jadi yang memberi inspirasi, rujukan dan membentuk
               identiti masyarakat (Roslan et al., 2017). Bagi konservasi sesebuah bangunan, pendekatan yang digunakan
               adalah mengikut faktor tertentu seperti objektif, kondisi dan fungsi. Beberapa pendekatan dan teknik
               digunakan dalam memulihara bangunan lama. Antaranya teknik konservasi secara preventif, kuratif dan
               restoratif. Kerja-kerja pencegahan kerosakan dan membaik pulih artifak akan memulihara struktur masjid
               untuk tempoh yang lebih lama. Faktor masa dan cuaca juga menjadikan setiap bangunan berpotensi untuk
               rosak (Fatimah et al, 2011). Oleh itu, kerja-kerja penyelenggaraan berjadual adalah penting terutamanya
               dalam menjaga kualiti struktur bangunan warisan secara berterusan.

                       Usaha konservasi bangunan sebenarnya bukan hanya meliputi aspek teknikal berkaitan penjagaan
               bangunan daripada elemen yang merosakkan, tetapi sebenarnya lebih meluas dan signifikan jika ditinjau
               daripada  aspek  sosial.  Kesedaran  umum  tentang  peri  pentingnya  bangunan  warisan  sebagai  identiti
               bangsa turut memainkan peranan penting kerana penglibatan komuniti setempat adalah elemen teras
               dalam pengurusan warisan yang efisien. Masyarakat akan lebih menghargai warisan persekitaran dan
               mempunyai  sikap  yang  positif  dengan  menghargai  produk-produk  warisan  ini  termasuklah  bangunan
               seperti masjid  lama jika mereka mempunyai kesedaran dan kefahaman yang jitu terhadap fungsi estetik
               dan  gunaannya.  Kajian  oleh  Plested  et  al  (2006)  dan  Heritage  England  (2013)  membuktikan  elemen
               penglibatan dan apresiasi umum memainkan peranan dalam pemuliharaan bangunan bersejarah. Walau
               bagaimanapun ianya tidak berlaku dalam vakum tetapi turut bersangkutan dengan faktor lain. Mohamad
               Khairul Anuar et al (2021) menyatakan faktor dasar pihak berwajib yang peka dengan kesedaran penjagaan
               warisan oleh komuniti juga menjadikan pengekalan dan penjagaan warisan berlangsung dengan jayanya.
                       Persoalannya,  sejauh  manakah  elemen  sosial  seperti  kesedaran,  pengetahuan  dan  sikap
               pemegang taruh akan mempengaruhi pengurusan masjid warisan yang efisien? Oleh itu kajian kualitatif
               ini akan menggunakan Masjid Ihsaniah Iskandariah di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Perak sebagai
               kajian kes. Masjid Ihsaniah adalah sebuah masjid yang  diklasifikasikan sebagai masjid warisan di Malaysia.

                       Bagi  memenuhi  objektif  kajian  ini,  pengkaji  akan  meninjau  peranan  Jabatan  Warisan  Negara
               sebagai pemegang taruh utama dalam usaha konservasi masjid ini. Selain itu, kajian ini cuba melihat usaha
               yang dilakukan untuk  mengenengahkan masjid warisan kepada masyarakat setempat dengan sistematik.
               Kajian ini juga menganalisis peranan Ahli Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK) dalam membantu pihak
               Jabatan  Warisan  dan  kerajaan  negeri  untuk  mempromosi  dan  mendidik  komuniti  setempat  tentang
               masjid warisan. Selain itu, kajian ini juga akan menilai kefahaman masyarakat sekeliling mengenai peranan
               dan  nilai masjid  warisan. Data-data  akan  dikumpul melalui  sesi  temubual  dengan  para  informan  dari
               Jabatan  Warisan,  Ahli  JKK,  dan    komuniti  sekitar.  Data-data  sekunder  juga  akan  digunakan  untuk
               mendapatkan maklumat berkaitan masjid warisan daripada perspektif kearifan tempatan. Hasil kajian ini
               diharap  dapat  memberikan  gambaran  yang  lebih  jelas  tentang  peranan  yang  dimainkan  oleh  masjid
               warisan.
                       Skop perbincangan makalah ini tidak akan  melibatkan pelaporan dan perbincangan data utaama
               daripada kajian lapangan kerana limitasi masa dan akses terhadap para informan buat masa sekarang.
               Oleh  itu,  makalah  ini  hanya  akan  menggalurkan  hasil  kajian  lepas  yang  berkaitan  dalam  perspektif
               konservasi dan kearifan tempatan. Selain itu, cadangan rekabentuk kajian juga akan dibincangkan untuk
               mendapatkan maklum balas dari para professional dalam bidang yang berkaitan.


               International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 874 -
   882   883   884   885   886   887   888   889   890   891   892