Page 158 - Proceedings Collega2023
P. 158
Usaha yang progresif perlulah dilakukan oleh memastikan alam sekitar ini terjaga. Pelbagai
pendekatan telah dilaksanakan bagi mencapai matlamat ini seperti mengaplikasikan kearifan tempatan
sebagai perisai untuk melindungi alam sekitar. Kearifan tempatan terdiri daripada dua perkataan iaitu
‘local’ dan ‘wisdom’. Berdasarkan pengertian yang dibuat oleh (Mamat, 2015) Yusof & Ramli (2020), ‘local’
bermaksud setempat manakala ‘wisdom’ pula bermaksud kebijaksaan dan hikmah. Perkataan gabungan
daripada local wisdom bermaksud kearifan tempatan yang penuh dengan hikmah serta kebijaksaan.
Malah, definisi yang dibuat oleh (Aslan, 2017) menjelaskan kearifan tempatan sebagai satu fikiran manusia
yang mempunyai hubungan dengan alam, adat istiadat, nilai agama dan petua-petua yang digunakan oleh
generasi tua dalam kehidupan. Kearifan tempatan juga bermaksud nilai budaya yang dipegang oleh
masyarakat sebagai satu garis panduan hidup.
Kearifan tempatan ini mestilah bersandarkan kepada tiga konsep utama iaitu keilmuan tempatan,
kepandaian tempatan dan juga kearifan tempatan. Kearifan tempatan berbeza dengan keilmuan tempatan
dalam aspek skop batasan ilmu. Husni Thamrin (2013, dalam Yusof & Ramli, 2020) menyatakan bahawa
kearifan tempatan adalah sebuah sistem yang meliputi kehidupan sosial, politik, budaya, ekonomi dan
linkungan yang ada dalam masyarakat tempatan manakala keilmuan tempatan pula hanya terdiri daripada
komponen kearifan tempatan. Kepandaian tempatan pula telah diperkenalkan oleh Quartrich Wales
(Ayatrohaedi, 1986 dalam Dato et al., 2020) sebagai satu kemampuan masyarakat tempatan dalam
menghadapi kebudayaan asing. Contoh yang dimaksudkan ialah kemampuan masyarakat Nusantara yang
telah menggunakan alam sekeliling mereka untuk berinteraksi dan bergantung seperti makhluk ghaib, jin,
syaitan dan unsur-unsur semangat seperti pokok, laut dan lain-lain lagi.
Secara umumnya, keilmuan tempatan bermaksud ilmu yang digunakan kerana bermanfaat untuk
masyarakat manakala kearifan tempatan pula ialah hikmah dan kebijaksanaan hasil daripada interaksi
antara alam serta pengalaman hidup. Kearifan tempatan melalui pendefisinian yang dibuat oleh Trisnasasti
(2021) menjelaskan bahawa kearifan tempatan berkait rapat dengan setiap tanduk positif manusia yang
beradaptasi dengan alam sekitar. Merujuk Yusof & Ramli (2020), kearifan tempatan berada dalam
tatatingkat tertingi dalam pelaksanaan dan juga pengamalan disebabkan penghasilan hikmah amali secara
tersurat dan tersirat berbanding kepandaian lain yang hanya terbatas kepada ilmu tersurat sahaja. Malah,
kajian yang dibuat oleh Yusof dan Ramli pada tahun 2020 juga telah menerangkan pendefinisian terhadap
kearifan tempatan secara terperinci untuk mengelak kekeliruan makna kepada konsep ini. Kearifan
tempatan ialah sebuah bentuk pemikiran yang tinggi dan mendalam serta kreatif terhadap sesuatu amalan
yang diamalkan dalam masyarakat. Kearifan tempatan juga boleh diterangkan sebagai ilmu petahuan yang
diusahakan oleh kumpulan cerdik pandai tempatan untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat.
Kelestarian alam telah menjadi isu global malah kerangka Matlamat Pembangunan Mampan juga
mengandungi beberapa pelan yang berfokus hanya kepada kelestarian alam. Pada mesyuarat Organisasi
Kesihatan Dunia pada 25-27 September 2015, satu kerangka Matlamat Pembangunan Mampan telah
dilancarkan sebagai satu agenda untuk memperbaik kualiti hidup manusia. Sebanyak 17 pelan yang
terkandung dalam kerangka Matlamat Pembangunan Mampan tersebut. Antara pelan yang terdapat
dalam Matlamat Pembangunan Mampan mempunyai kaitan dengan kelestarian alam ialah pelan ke-6 iaitu
air yang bersih serta sanitasi, pelan ke-14 iaitu kehidupan bawah air dan pelan ke-15 kehidupan di darat.
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 145 -

