Page 1022 - Proceedings Collega2023
P. 1022
Rumusan daripada dapatan menunjukkan wujudnya karenah birokrasi dalam pengurusan
pewartaan tanah saka Orang Asli. Justeru, hal ini perlu diperbaiki oleh pihak pelaksana dengan mewujudkan
Tatacara Pengendalian Piawaian (SOP) yang lebih efektif dan cepat supaya proses pewartaan tanah saka
Orang Asli khususnya suku kaum Temiar dapat diselesaikan dalam tempoh yang cepat.
Kesimpulan
Kesimpulannya kajian ini adalah berkenaan cabaran pewartaan tanah saka kepada suku kaum
Temiar di Gua Musang Kelantan. Melalui kaedah kualitatif dengan teknik pengumpulan data kajian
dokumen, temubual dan pemerhatian ikut serta bersama masyarakat suku kaum Temiar menunjukan
pewartaan tanah saka mereka adalah sangat penting terutama demi kelangsungan dan kelestarian hidup
suku kaum Temiar dan generasi akan datang. Hasil kajian jelas menunjukkan wujudnya cabaran dalam usaha
pewartaan tanah saka suku kaum Temiar. Cabaran seperti perundangan, penentuan persempadanan,
kekeliruan informasi, kesukaran kerjasama, tuntutan tidak munasabah, kekangan kewangan dan karenah
birokrasi perlu ditangani oleh semua pihak. Pengkaji berpandangan, kekerapan melakukan rundingan dan
perbincangan antara salah satu jalan penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan permasalahan ini. Sekiranya
kedua-dua pihak dapat bertolak ansur, nescaya jalan penyelesaian dapat diperolehi. Melalui kajian ini juga
sebahagian suku kaum Temiar sedar bahawa tentang peri pentingnya mendapat pewartaan tanah saka demi
untuk terus maju ke hadapan seiring dengan kaum yang lain di Malaysia. Justeru, usaha pewartaan tanah
rizab Orang Asli yang sedang giat dilaksanakan diseluruh kampung Orang Asli di Kelantan adalah usah baik
yang perlu diselesaikan segera. Ini kerana tanpa pewartaan tanah saka suku kaum Temiar tidak dapat
melaksanakan projek pembangunan yang lebih baik khususnya pembangunan ekonomi. Projek
pembangunan yang ingin dilaksanakan dibawah tanah yang mendapat pengiktirafan tanah yang sah lebih
mudah untuk mendapatkan sebarang bentuk bantuan daripada pihak kerajaan. Oleh itu, sekiranya
pengiktirafan tanah melalui pewartaan ini dapat diselesaikan secara menyeluruh, tidak mustahil sumber
pendapatan suku kaum Temiar akan meningkat dan isu kemiskinan dalam kalangan Orang Asli dapat
dikurangkan. Justeru diharap hasil kajian ini juga boleh dijadikan rujukan dan panduan kepada pihak yang
berkepentingan dalam menguruskan kebajikan dan kesejahteraan Orang Asli. Diharap juga kajian ini dapat
memberi kesedaran kepada masyarakat Orang Asli yang lain berkenaan pentingnya pewartaan tanah saka
dalam menjamin kelestarian hidup kaum Orang Asli.
Penghargaan
Artikel ini menjadi kenyataan dengan sokongan dan bantuan daripada ramai individu. Sehubungan
itu pengkaji ingin mengucapakan terima kasih yang tidak terhingga kepada mereka yang terlibat. Di samping
itu, pengkaji juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi
Malaysia atas tajaan Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) dibawah ID Projek (17696) dan nombor
rujukan (FRGS/1/2020/SS0/UNISZA/03/1) atas pembiayaan dan sokongan mereka bagi merealisasikan
penerbitan artikel ini.
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page 1009

