Page 742 - Proceedings Collega2023
P. 742
Pengenalan
Pemuliharaan merujuk kepada sebuah tindakan penjagaan dan membaik pulih nilai warisan di
dalam sesuatu kawasan. Tindakan ini berlandaskan pelan perancangan yang teliti serta bersesuaian bagi
mengelakkan sebarang ancaman kerosakan. Feilden (2003) berpendapat, pemuliharaan merupakan suatu
tindakan yang diambil bagi mengelakkan pereputan dan kerosakan serta melaksanakan tindakan untuk
menguruskan perubahan secara dinamik. Dalam konteks pemuliharaan bandar, ia adalah tindakan
pengurusan bagi memanjangkan hayat warisan ketara sedia ada seperti bangunan bersejarah sehingga
boleh digunakan pada masa akan datang. Yazid Salleh (2010) menyatakan pemuliharaan sebagai sebuah
aktiviti yang mampu mengekalkan nilai warisan ke atas bangunan berkepentingan yang ada untuk terus
digunakan pada masa akan datang. Seterusnya, mampu mendatangkan impak positif kepada morfologi
sesebuah bandar bersejarah secara lebih menyeluruh.
A.J.F. Chiaradia (2019) secara ringkasnya menyebut, morfologi bandar boleh dianggap sebagai
kajian terhadap bentuk fizikal sesebuah penempatan. Namun menurutnya secara lebih tepat, ia merujuk
kepada pembentukan dan hubungan di antara komponen yang menggambarkan perubahan komposisi
dan konfigurasinya di dalam fabrik bandar. Menurut V. Oliviera (2016) morfologi bandar adalah sebagai
kajian terhadap bentuk bandar (urban form) dan ejennya serta proses perubahan yang terlibat. Morfologi
berdasarkan meneliti kepada elemen fizikal bentuk bandar yang terdiri daripada jalan, ruang terbuka, plot
atau lot, bangunan (S.A. Mohamed, et al, 2018) dan blok (V. Oliviera, 2016). Maka membincangkan
berkenaan pemuliharaan bandar bersejarah, elemen sebegini harus diberi perhatian kerana ia
menyumbang kepada pembentukan fabrik bandar tersebut.
Pelaksanaan pemuliharaan bandar amat penting bagi mengekalkan morfologi bandar sedia ada di
bandar bersejarah. N. Cohen (2001) telah menegaskan bahawa pemuliharaan ke atas bandar adalah
keperluan budaya. Hal ini dikatakan demikian kerana perkembangan bandar melalui pembangunan
moden telah memberikan tekanan kepada nilai sejarah dan sosio-budaya yang estetik dan unik telah sedia
ada dan berkembang lama di sesebuah bandar. Tekanan sebegini jika tidak diberikan perhatian yang
khusus akan memberikan impak buruk seperti pengabaian, kerosakan dan pelupusan kepada
kelangsungan nilai sejarah ke atas sesebuah bandar. Lantas mampu mengekang pembangunan lestari
sesebuah bandar bersejarah (J. Jiang, et al, 2022) Oleh itu, perlunya satu langkah pemuliharaan yang
bersesuaian untuk mengekalkan morfologi sedia ada.
Usaha pemuliharaan bandar bersejarah telah mendapat perhatian ramai pengkaji seluruh dunia
termasuklah pertubuhan badan warisan dunia seperti UNESCO. Ini adalah suatu usaha untuk
mengekalkan nilai warisan budaya di lokaliti masing-masing. Hasil daripada usaha ini, terlahirlah sebuah
pengesyoran berkenaan pendekatan terbaik dalam mengimplementasi pendekatan terbaik terhadap
pemuliharaan bandar. Pihak UNESCO (2011) telah mengeluarkan gagasan untuk mengambil pendekatan
Historic Urban Landscape (HUL) dalam melaksanakan tindakan pemuliharaan bandar bersejarah.
Pendekatan ini berusaha untuk memberikan peningkatan kepada kelestarian perancangan dan reka
bentuk yang memberi kesan kepada persekitaran binaan (built environment) sedia ada, warisan,
kepelbagaian budaya, sosio-ekonomi dan faktor persekitaran yang terkait dengan nilai komuniti
(UNESCO). Hal ini berikutan pendekatan ini dilihat bersesuaian digunakan ke atas majoriti bandar lama
dan bersejarah, tanpa mengira saiz kawasan. Pendekatan ini menitikberatkan keperluan pemetaan
sebagai langkah awal yang kritikal dalam menjamin pemuliharaan. Sebagai sebuah bandar lama yang
mempunyai isu dalam aspek pemetaan, pendekatan ini dilihat bersesuaian untuk diterapkan.
Terutamanya dalam konteks melihat hubungan antara pemetaan yang lompong dengan kemerosotan
pemuliharaan nilai warisan di kawasan berkenaan.
HUL amat menekankan tinjauan pemetaan yang komprehensif dalam pelaksanaan pemuliharaan
bandar. Ia adalah langkah kritikal awal dalam menjalankan sebuah usaha pemuliharaan bandar bersejarah
yang berkesan dan lestari. Fungsi pemetaan yang komprehensif dilihat terserlah sewaktu digunakan
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 729 -

