Page 591 - Proceedings Collega2023
P. 591
Justeru, penulis melakukan kajian terhadap ideologi seseorang pengarah menerusi teori
kepengarahan daripada Astruc, 1948; Truffaut, 1954; Sarris, 1962 dan Koduthor. 2022. Sejajar dengan itu,
metodologi kualitatif dan analisis tekstual ini akan difokuskan kepada pengarah pilihan dan filemnya
menerusi konteks industri filem Malaysia. Tambahan pula, penulis akan memfokuskan kepada seorang
pengarah filem Malaysia iaitu Syamsul Yusof serta filem-filemnya seperti Mat Kilau (2022) dan Munafik 2
(2018) yang menjadi antara filem yang paling laris dalam landskap perfileman di Malaysia. Seterusnya,
pengeksplorasian ini juga memfokuskan kepada ideologi (pemikiran) pengarah dalam memberi pengaruh
kepada minat khalayak berlandaskan representasi ideologi dan teori kepengarahan (Auteur Theory) di
dalam filem.
Hasil Dapatan
Munafik 2 merupakan sebuah filem tempatan yang diterbitkan oleh Skop Production pada tahun
2018 – ianya juga telah diarahkan oleh Syamsul Yusof sebagai sebuah filem sekuel kepada filem Munafik
(2016). Menurut Mohd Faizal (2018), filem Munafik 2 adalah merupakan sebuah karya arahannya yang
paling mencabar apabila filemnya sebelum ini iaitu Munafik bukan hanya mengutip kutipan pecah
panggung malah filem ini juga merupakan filem terbaik bagi Anugerah Skrin 2016 serta beliau merangkul
kategori pengarah terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-57. Walaubagaimanapun, Syamsul Yusof berjaya
mengatasi cabaran tersebut apabila filem Munafik 2 berjaya menjadi filem yang paling laris di Malaysia
pada tahun 2018 apabila ianya mengutip kutipan tiket hampir RM 48 juta.
Manakala, filem Mat Kilau yang diterbitkan pada tahun 2022 merupakan sebuah filem terbitan
Studio Kembara Sdn. Bhd. – dan ianya juga diarahkan oleh Syamsul Yusof. Filem fiksyen yang bercorak
atau bergenre kepahlawanan dan pejuang ini telah menggemparkan Malaysia apabila Mat Kilau (2022)
telah berjaya memungut hasil kutipan hampir RM 100 juta dan telah menjadikan ia filem pecah panggung
yang menduduki tangga pertama sebagai filem tempatan yang paling laris. Justeru, penulis menghujahkan
bahawa ideologi dan gaya pengarahan yang dibawa menerusi keduadua filem ini menjadi salah satu
faktor terhadap minat khalayak di negara ini, hujahan ini adalah berdasarkan kepada komen-komen
khalayak terhadap filem tersebut di media sosial.
Pemikiran Islam dalam Genre Seram
Genre seram merupakan suatu genre yang membawa naratif atau jalan cerita yang berunsurkan
hantu, rasukan, makhluk halus dan lain-lain – ianya seharusnya kelihatan ngeri dan menakutkan samada
dari sudut visual mahupun dalaman (skrip, audio, suntingan) kepada khalayak penonton. “… (horror
genre) has diversified into a broad range of content that aims to “frighten, shock, horrify, and disgust”
audiences through references to elements such as the grotesque, the unknown and the supernatural.”
(Shaheed 2022, p.10). Menurut perspektif Islam, kepercayaan kepada alam atau perkara ghaib seperti
syurga, neraka, malaikat, syaitan, jinn dan lain-lain yang tidak kelihatan secara wajarnya adalah menjadi
salah satu perkara yang melengkapi agama ini.
Selari dengan itu, elemen sihir dan jinn menjadi salah satu elemen yang tunjang dan dominan
menerusi filem-filem yang bercorak seram yang berkait rapat bersama Islam – Shaheed (2022) juga
menyatakan bahawa salah satu perkara ghaib seperti jinn yang berkait rapat dengan pengertian yang
lebih luas terhadap elemen ghaib atau tersembunyi. Maka, pemikiran ini menjadi salah satu pengaruh
yang mampu memberikan perkaitan terhadap penonton yang beragama Islam malah genre yang dipilih
juga berupaya untuk menjadikan ia sebuah filem yang universal.
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 578 -

