Page 28 - Proceedings Collega2023
P. 28
PERKAITAN KEARIFAN LOKAL DENGAN KEPERCAYAAN DAN AMALAN
PEMAKANAN WANITA MELAYU KETIKA BERPANTANG
1
Arina JOHARI*
Lilisuriani ABDUL LATIF @ BAPOO 2
1,2 International Islamic University, Kuala Lumpur, Malaysia
1 arinajr@iium.edu.my
2 lilisuriani@iium.edu.my
ABSTRAK
Kearifan lokal Melayu memanifestasikan pemikiran yang tinggi, mendalam dan kreatif terhadap
nilai tradisi budaya yang menjadi panduan hidup masyarakatnya sejak turun temurun. Ini termasuklah
kasus kepercayaan dan amalan pemakanan tradisi wanita ketika berpantang. Orang Melayu percaya
bahawa amalan pemakanan tradisi ketika berpantang ini, jika tidak dituruti akan memudaratkan kesihatan
ibu dan anak di masa depan. Justeru, analisis ini dilakukan untuk mengenal pasti pemakanan tradisi yang
masih diamalkan oleh wanita Melayu ketika berpantang; menganalisis pengaruh kepercayaan dengan
amalan pemakanan tradisi ketika berpantang; dan menganalisis perkaitan kepercayaan serta amalan
pemakanan tersebut dengan kearifan lokal. Analisis ini mengaplikasikan metod temu bual separa struktur
terhadap 14 responden, iaitu 10 wanita yang mempunyai pengalaman berpantang mewakili (i).golongan
ibu muda(berusia 20-29), (ii).pertengahan(berusia 30-39), dan (iii).ibu lama(berusia 40 ke atas); berbaki
empat responden mewakili dua bidan kampung dan bidan moden, masing-masingnya. Analisis mendapati
wujud variasi dalam amalan pemakanan tradisi ketiga-tiga golongan disebabkan impak globalisasi dan
pengetahuan meluas tentang penjagaan kesihatan dalam kalangan generasi muda. Dapatan turut
membuktikan kepercayaan tentang pantang larang tradisi amat mempengaruhi amalan pemakanan
wanita ketika berpantang serta wujud perkaitan yang signifikan dengan kearifan lokal Melayu, iaitu
kebijaksanaan dan pengetahuan lokal tentang kesihatan, pengaruh budaya/tradisi Melayu, penekanan
kesejahteraan individu/masyarakat dan seni lanskap Melayu.
Kata kunci: kearifan lokal; kepercayaan; amalan pemakanan berpantang; dan pantang larang tradisi
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 15 -

