Page 30 - Proceedings Collega2023
P. 30
Pengenalan
Kearifan lokal Melayu memanifestasikan pemikiran yang tinggi, mendalam dan kreatif terhadap
nilai tradisi budaya yang menjadi panduan hidup masyarakatnya sejak turun temurun. Ia mengandungi
nilai-nilai yang perlu difahami secara tersurat mahupun secara tersirat yang memerlukan pengamatan
mendalam bagi menghayati falsafah yang terkandung di sebalik perlakuan dan amalan seseorang individu
(Muhammad yusri yusof @ salleh dan Mohd Anuar Ramli, 2020). Nilai-nilai tersirat ini memerlukan tunjuk
ajar daripada generasi terdahulu sebagai panduan; tidak boleh diperoleh hanya dengan padangan mata
kasar. Ini termasuklah kasus kepercayaan dan amalan pemakanan tradisi wanita ketika berpantang. Orang
Melayu percaya bahawa amalan pemakanan tradisi ketika berpantang ini, jika tidak dituruti akan
memudaratkan kesihatan ibu dan anak di masa depan. Ini disebabkan sepanjang tempoh kehamilan dan
berpantang, kondisi tubuh wanita dianggap berada pada tahap berisiko tinggi untuk mendapat sebarang
jangkitan penyakit dan kecederaan (Patricia Sator et.al, 2022). Namun begitu, dapatan pengkaji lepas
menunjukkan bahawa majoriti wanita dari kawasan luar bandar lebih percaya dengan kaedah berpantang
secara tradisi berbanding yang tinggal di kawasan bandar (Ali & Chapman, 2007). Ini seolah-olah
menunjukkan bahawa kepercayaan terhadap amalan pemakanan tradisi ini semakin menurun terutama
dalam kalangan generasi muda berkemungkinan disebabkan oleh kesibukan bekerja, kemajuan dan
globalisasi serta taraf pendidikan yang semakin tinggi menyebabkan mereka berasa amalan tradisi
sesuatu yang rumit dan ketinggalan zaman. Kemajuan teknologi, pengetahuan yang meluas yang diterima
oleh generasi muda serta kemudahan hospital (perbidanan dan sakit puan) masa ini memperlihatkan
mereka sering mempertikai dan mempersoalkan kewibawaan amalan tradisi yang ada (Counihan, 1999;
dalam Kamaruddin, Zahari, Muhammad, Amir, & Azdel, 2013) . Justeru, kajian ini akan meneliti
kepercayaan dan amalan pemakanan tradisi oleh wanita Melayu ketika berpantang, seterusnya meninjau
perkaitan antara kedua-dua aspek ini dengan kearifan lokal masyarakat Melayu yang diwarisi sejak turun
temurun. Perkara ini harus ditelitikan agar warisan tradisi Melayu dalam hal ehwal wanita berpantang
kekal relevan dan terus diamalkan di masa depan.
Sorotan Kajian
Bidang pengkajian tentang kepercayaan masyarakat dan amalan berpantang secara tradisi dalam
kalangan wanita banyak dijalankan sama ada di luar mahupun di dalam negara. Sekadar memaparkan
beberapa pengkaji yang didapati menjalankan kajian agak hampir dengan kajian ini seperti Ali & Chapman
(2007), Sahar Mansour Lamadah (2013), Kamaruddin, Zahari, Muhammad, Amir, & Azdel (2013), Noor
Hasimah, Nor Hawani, Yuzainizam, dan Sabariah (2015); Zuraidah, Asmiaty, Darlina dan Saad (2018), dan
Razanah Ramya et. al (2022); sorotan ini diharap akan dapat memperlihatkan jurang analisis terhadap
kajian yang akan dilaksanakan.
Ali & Chapman (2007) menjalankan kajian tentang perkhidmatan bidan kampung tradisional
dalam proses bersalin di kawasan luar bandar melibatkan 17 kumpulan wanita hamil, 3 kumpulan bidan
kerajaan dan bidan kampung menggunakan metod pemerhatian, temu bual mendalam dan analisis
tematik. Mereka mendapati amalan berpantang secara tradisi lebih banyak diamalkan di kawasan luar
bandar berbanding kawasan bandar, yang majoriti penduduknya ialah generasi muda yang mempunyai
latar pendidikan tinggi. Masyarakat Melayu didapati amat mematuhi amalan dan pantang larang ini atas
faktor kesihatan dan manfaat diri. Namun, amalan dan kepercayaan ini semakin berubah apabila didapati
generasi moden lebih memilih berpatang secara moden dengan kemajuan teknologi dan perubatan yang
semakin canggih.
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 17 -

