Page 31 - Proceedings Collega2023
P. 31

Sementara  itu,  Sahar  Mansour  Lamadah  (2013)  pula  menjalankan  kajian  untuk  menilai
               kepercayaan  dan  amalan  tradisional  ketika  berpantang  dalam  kalangan  wanita  di  Makkah  Al-
               Mukkaramah,  KSA.  Beliau  menggunakan  metod  persampelan  rawak  (120  wanita  selepas  bersalin)  di
               Hospital Besar Heraa, Mekah  dengan temu bual berstruktur. Beliau mendapati lebih 50 peratus wanita
               mempunyai kepercayaan yang positif tentang amalan berpantang secara tradisional manakala ibu dan
               saudara  mara  memainkan  peranan  dalam  menguatkan  kepercayaan  mereka.  Selain  itu,  beliau  turut
               mendapati  umur  dan  tahap  pendidikan  merupakan  faktor  paling  positif  yang  mempengaruhi  tahap
               kepercayaan individu dan mencorakkan amalan pemakanan tradisi mereka.

                       Seterusnya, Kamaruddin, Zahari, Muhammad, Amir, & Azdel (2013) pula menjalankan kajian ke
               atas wanita generasi muda dan generasi lama untuk meninjau sikap, kepercayaan dan amalan pemakanan
               tradisi  mereka  melalui  kajian  kualitatif  dengan  metod  temu  bual  separa  struktur.  Mereka  mendapati
               generasi  ibu  muda  mengalami  perubahan  berbanding  generasi  ibu  yang  lebih  tua  disebabkan  faktor
               kemajuan teknologi dan sosial yang berlaku hari ini. Golongan ibu muda didapati mempunyai rasional dan
               justifikasi yang lebih tinggi dalam penerimaan jenis amalan pemakanan yang sesuai dengan mereka ketika
               berpantang  berbanding  golongan  lama.    Situasi  ini  menjadikan  amalan  pemakanan  tradisi  ketika
               berpantang yang disampaikan melalui generasi ke generasi menjadi lebih kukuh  dan berevolusi melalui
               pengetahuan  secara  saintifif  yang  diperolehi  oleh  generasi  muda;  dengan  disokong  oleh  kemajuan
               teknologi.

                       Meninjau pantang larang orang Melayu dan nilai murni  disebaliknya, Noor Hasimah , Nor Hawani,
               Yuzainizam, dan Sabariah (2015) mendapati pantang larang terhadap wanita berpantang mempunyai nilai-
               nilai murni dan pengajaran yang baik kepada masyarakat. Menggunakan pendekatan kertas kerja konsep
               untuk mendalami dan menilai pantang larang orang Melayu tradisi, mereka turut mendapati kebiasaannya
               pantang larang berkaitan dengan pemakanan ketika berpantang semakin berkurangan selepas hari ke-20.
               Walau bagaimanapun,  daripada segi perubatan dan kajian saintifik, merek mendapati tiada lagi kajian
               yang membuktikan bahawa makanan-makanan tradisi seperti rempah ratus dan herba  akan memberi
               kemudaratan kepada ibu lepas bersalin dan perlu dielakkan. Oleh itu, mereka berpandangan hal ini sangat
               bergantung  kepada  kepercayaan  si  ibu  itu  sendiri  sama  ada  untuk  mengamalkan  pantang-larang
               pemakanan tradisi ini.

                       Dalam konteks amalan berpantang dalam kalangan wanita kaum Melayu, Cina dan India pula,
               Zuraidah, Asmiaty, Darlina dan Saad (2018) mengaplikasikan metod kualitatif melalui temu bual dan kajian
               literatur.    Mereka  mendapati  ketiga-tiga  kaum  ini  mengamalkan  kaedah  penjagaan  pemakanan  yang
               berbeza sama ada ketika pranatal mahupun selepas bersalin. Mereka turut mendapati kaedah rawatan
               secara tradisional masih lagi dicari dan diamalkan oleh ketiga-tiga kaum ini dan mempunyai persamaan
               dari aspek pengurangan kuantiti makanan, mengelakkan pengambilan air/makanan sejuk, kaedah berurut
               dan pengambilan herba seperti lada hitam, kunyit dan halia untuk penyembuhan dalaman.

                       Selain itu, Razanah Ramya et.al (2022) menjalankan kajian etnobotani amalan perbidanan Melayu
               tradisional dalam rawatan penjagaan pranatal dan selepas bersalin dalam kalangan bidan kampung di
               Malaysia. Kajian ini mengaplikasikan kajian kualitatif terhadap 31 bidan tradisional Melayu dari 11 negeri
               di Malaysia melalui metod pemerhatian dan temu bual separa berstruktur secara sua muka. Mereka
               mendapati pengetahuan yang dimiliki oleh bidan di negara ini adalah berasaskan pewarisan daripada
               generasi  ke  generasi.  Majoriti  bidan  percaya  bahawa  rawatan  pranatal  dan  selepas  bersalin  adalah
               penting  untuk  meremajakan  keadaan  emosi  dan  fizikal  si  ibu  serta  menstabilkan  tahap  hormonnya.


               International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 18 -
   26   27   28   29   30   31   32   33   34   35   36