Page 251 - Proceedings Collega2023
P. 251
Di samping itu, penyelidik mendapati bahawa pembelajaran dan pemudahcaraan guru Bahasa
Melayu di sekolah rendah bagi pengimplementasian KBAT dalam aspek seni bahasa melalui kemahiran
mendengar dan bertutur adalah belum cukup mencapai di aras KBAT yang tertinggi iaitu mencipta.
Penyelidik mendapati guru perlu mahir berpuisi mengikut aras kesukaran dari aras rendah kepada aras
yang lebih tinggi. Menurut Idris, Sarudin dan Idris (2013) bahawa tahap kekerapan guru menggunakan
taksanomi dalam pengajaran Bahasa Melayu adalah di tahap yang sederhana iaitu M=2.86; S.P=0.69.
Sekiranya guru membiasakan PdPc mengikut kepelbagaian aras taksanomi, maka tidak mustahil untuk
guru mahir dalam penciptaan puisi yang diiplementasikan bersama KBAT. Oleh itu, sebagai seorang guru
perlu menguasai aras KBAT yang digariskan dalam taksonomi Anderson (2001).
Seterusnya, bagi kemahiran membaca yang dilaksanakan oleh guru yang melibatkan pengubahsuaian idea
daripada seni kata lagu yang dibaca kepada bentuk puisi dan cerita hendaklah dikuasai oleh guru dengan
sebaiknya. Tahap penguasaan guru dalam pengubahsuaian idea daripada lirik lagu kepada bentuk puisi
dan cerita daripada dapatan kajian ini menunjukkan guru belum menguasai sepenuhnya aras mencipta.
Guru yang mahir menggunakan alat berfikir yang sesuai pada aras mencipta mampu melahirkan muridnya
juga untuk berfikir pada aras mencipta. Shamilawati, Wan dan Rahimah (2018) menjelaskan bahawa
penggunaan alat berfikir membantu guru untuk memindahkan perkara yang difikirkannya dalam
mindanya ke atas kertas. Oleh itu, pengubahsuaian idea boleh dilaksanakan melalui alat berfikir yang
sesuai agar dapat diterjemahkan secara eksplisit untuk dilihat dan diperjelas secara kreatif untuk
menguasai aras mencipta terlebih dahulu dalam KBAT.
Tambahan lagi, pengajaran guru juga tidak tertumpu terhadap penyampaian ilmu bahkan
mementingkan aspek penerapan nilai dalam kalangan murid. Pembacaan teks puisi, cerita mahupun
nyanyian perlu difahami oleh guru agar membantu murid menghayati ilmu dan nilai yang terkandung di
dalamnya. Perkara ini selari dengan dapatan kajian yang dijalankan oleh Sabinus, Moi dan Ibraahim (2023),
iaitu berdasarkan pengalaman sedia ada dalam kalangan murid dapat membantu mereka untuk
membangunkan kefahaman kendiri terhadap idea baharu, ilmu serta pemupukan nilai murni melalui
pendekatan konstruktivisme.
Seterusnya, pelaksanaan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) seni bahasa yang
diimplemetasikan dengan KBAT melalui kemahiran menulis menunjukkan bahawa nilai min bagi item
penulisan teks puisi, cerita dan seni kata lagu dengan menggunakan bahasa yang indah dalam kalangan
guru belum mencapai tahap penguasaan yang memuaskan berbanding item-item yang lain. Dapatlah
dilihat bahawa penguasaan murid dalam sesuatu kemahiran penulisan adalah daripada tunjang utama
penguasaan guru dalam kemahiran tersebut (Mamat et al., 2021). Perkara ini menunjukkan bahawa guru
perlu menguasai aras mencipta dalam tatatingkat KBAT agar memudahkan proses PdPc yang dilaksanakan
melalui kemahiran menulis. Kajian ini selari dengan dapatan Hassan dan Rahman (2021) yang menyatakan
bahawa kemahiran berfikir dalam pengajaran kurang diberi perhatian oleh guru hingga menyebabkan
murid kurang mahir menulis karangan.
Akhir sekali, berdasarkan dapatan kajian ini, para guru perlu mempraktikkan pendekatan
konstruktivisme bagi meningkatkan amalan KBAT dalam kaedah penulisan teks puisi, seni kata lagu dan
cerita dengan menggunakan keindahan bahasa. Berdasarkan pengetahuan sedia ada dalam kalangan
murid membolehkan mereka untuk menjana idea baharu yang lebih kreatif. Mahamod dan Noor (2011)
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 238 -

