Page 113 - Proceedings Collega2023
P. 113
Bongkok pernah didiami oleh Penghulu Luak Ulu Muar ke-7 iaitu Datuk Muar Bongkok Abdul Hashim
sekitar 1940-an. Menurut beliau lagi, rumah tersebut dibina sekitar 1890-an. Kenyataan ini dibuktikan lagi
dengan keberadaan pentas setinggi 1 kaki yang berada di hujung serambi rumah tersebut. Berdasarkan
penyelidikan-penyelidikan sebelum ini seperti Noor Hayati Ismail et al. (2016), Raja Nafida Raja Shahminan
(2007) dan Yaakub Idrus (1996) ada menjelaskan tentang pembahagian ruang serambi mempunyai fungsi
tertentu yang menjurus kepada pengaruh Adat Perpatih seperti hujung serambi yang dikhususkan untuk
Penghulu atau Ulama. Begitu juga dengan rumah Sali yang didiami oleh Datuk Lembaga dari suku Seri
Melenggang. Menurut waris Arif Otok, Datuk Lembaga tersebut merupakan suami kepada pemilik asal
rumah tersebut iaitu Sali Salleh; iaitu nenek kepada Arif Otok. Berdasarkan kedudukan buah buton pada
rumah ini berada di luar rumah tersebut. Kedudukannya berada di bahagian pangkal serambi iaitu
berhampiran dengan dinding bahagian rumah ibu. Sedia maklum, bahagian pangkal serambi merupakan
tempat perbincangan anak-anak buah bersama Datuk Lembaga dan Buapak untuk sesuatu hal
berdasarkan kepada penyelidikan Siti Fatimah Tuzzahrah Abd Latif dan Kamarul Afizi Kosman (2017); Noor
Hayati Ismail et al. (2016); dan Raja Nafida Raja Shahminan (2007).
Selain itu, agama Islam merupakan agama yang dipraktikkan oleh penghuni-penghuni untuk
kedua-dua rumah tersebut. Menurut Ani Idris, Arif Otok, Mohd Nor Mohd Amin, setiap penghuni tersebut
mengamalkan Adat Perpatih dengan berpandukan ajaran Islam sebagai rujukan utama dalam kehidupan
mereka. Malah, reka bentuk rumah tersebut turut berpandukan pada tuntutan Islam. Sebagai contoh
setiap ukiran yang terdapat pada rumah-rumah tersebut tidak diukir sebarang bentuk figura bernyawa
seperti manusia atau haiwan. Jawapan dari setiap informan tersebut diperkuatkan lagi dengan mereka
dari kelompok penyelidik dari bidang kesenian dan kebudayaan serta pengukir Melayu. Mereka adalah
Muhammad Pauzi Abdul Latif, Siti Rohamini Yusof dan Hashim Sahad. Menurut Muhammad Pauzi Abdul
Latif, setiap unsur seni yang terdapat pada rumah tradisional Negeri Sembilan secara amnya, menjadikan
Islam sebagai rujukan utama selain pengaruh alam sekeliling sebagai subject matter buat pengukir. Seperti
sedia maklum, petitih masyarakat Adat Perpatih yang sangat terkenal “adat bersendikan syarak, syarak
bersendikan Kitabullah” merupakan pengaruh kuat dalam kehidupan komuniti adat ini. Oleh itu, Islam
sebagai punca terhadap ukiran yang dihasilkan oleh pengukir rumah-rumah tradisional Negeri Sembilan
ini (Hashim Sahad).
Selain itu, terdapat juga pendapat dari informan-informan pemimpin Adat Perpatih yang lain.
Mereka juga menyatakan bahawa setiap struktur pada rumah tradisional Negeri Sembilan bukan sahaja
berpandukan pada konteks keagamaan semata-mata. Malah, setiap perbuatan atau tingkahlaku dalam
rumah juga menjadikan Islam sebagai panduan. Sebagai contoh menghadap Penghulu. Setiap langkah atau
adab ketika menghadap Penghulu dimulakan dengan tujuh langkah. Menurut Abdul Khalid Ujang, tujuh
langkah tersebut sebagai simbolik terhadap tujuh pertala langit yang diceritakan dalam al-Quran. Perkara
ini bukanlah menyembah Penghulu, sebaliknya sebagai kesopanan dan adab ketika berhadapan dengan
pemimpin. Begitu juga dengan Sulaiman Kasim yang menyatakan bahawa sifat seorang pemimpin itu juga
melambangkan agama yang dianuti. Jika baik yang ditonjolkan oleh mereka, maka baiklah ajaran agama
yang dia turuti. Begitu juga sebaliknya. Dengan adanya reka bentuk rumah tradisional tersebut, pengaruh
agama sangat kuat diaplikasikan terhadap reka bentuknya. Termasuk juga segala perkara yang terdapat
pada rumah tradisi ini. Oleh itu, buah buton yang merupakan sebahagian daripada struktur rumah tradisi
ini mempunyai pengaruh konteks keagamaan.
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 100 -

