Page 118 - Proceedings Collega2023
P. 118
Kesimpulan
Buah buton merupakan ukiran yang berkonsepkan tiga-dimensi dan diukir berpandukan ajaran
Islam. Subjek tersebut tidak menampakkan sebarang bentuk figura bernyawa sebaliknya menjadikan flora
sebagai rujukan oleh pengukir pada ketika itu. Ukiran buah buton turut meletakkan kedudukannya sebagai
perlambangan terhadap pemimpin Adat Perpatih di Luak Tanah Mengandung, Negeri Sembilan. Simbolik
ini menjadikan buah buton sebahagian daripada struktur rumah yang membawa kepada kepentingan
terhadap pemiliknya. Selain itu, subjek tersebut turut mempunyai pengaruhnya dalam mewujudkan
sebuah kekuatan dalam mengeratkan hubungan pemimpin dengan masyarakat dalam adat tersebut.
Perkara ini merupakan asas kepada perlambangan sifat pemimpin yang memandang kepada kepentingan
anak-anak buah yang melantiknya sebagai ketua mereka. Malah, menjadikannya sebagai orang yang
berkepentingan dalam menyatupadukan anggota masyarakat. Kepentingan tersebut bukan menjadikan
penghuni rumah bangga diri, sebaliknya merendah diri dengan apa yang mereka miliki. Perkara ini yang
diajar dalam agama agar meletakkan diri untuk terus taat dengan perintah Allah walaupun bergelar
pemimpin. Sudah pasti, aspek tersebut merupakan gambaran sebenar masyarakat Adat Perpatih yang kuat
berpegang teguh dengan ajaran Islam dan tidak mengetepikan unsur kesenian dan kebudayaan tradisi
mereka. Oleh itu, ukiran tiga-dimensi ini sangat sesuai diaplikasikan pada bangunan-bangunan yang
menjadi tumpuan orang awam. Sebagai contoh masjid yang menjadi tumpuan umat Islam untuk beribadat
selain ukiran tersebut selari dengan konteks keislaman. Kesenian tersebut juga boleh menghiasi ruang-
ruang bangunan kerajaan sebagai penyampaian sebuah mesej tentang konsep ketuhanan yang harus
disemai dan difahami dalam diri semua pihak. Walaupun sekadar ukiran tiga-dimensi, tidak bermakna
intipati dan keindahannya tidak dihayati oleh orang awam. Cadangan pengaplikasian buah buton yang
berkonsepkan tiga-dimensi tersebut bukan sekadar menjadikannya sebagai dekorasi semata-mata,
sebaliknya membawa dan mengetengahkan identiti sesuatu bangsa yang belum dipamerkan untuk
tatapan umum. Maka, ukiran ini boleh menjadi sebuah pengenalan identiti bangsa Melayu di peringkat
global dengan hanya ukiran tiga-dimensi buah buton. Selain itu, pengekalan identiti tersebut juga
merupakan sebuah perlambangan Adat Perpatih yang menggunakan konteks kesenian sebagai
mengetengahkan jiwa masyarakat adat etrsebut. Andai hilang pengenalan ini, maka permahaman tentang
Adat Perpatih akan ditelan zaman.
Rujukan
Abdul Halim Nasir. (2016). Ukiran Kayu Melayu Tradisi. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Samad Idris, Abdul Muluk Daud, Muhammad Tainu & Norhalim Ibrahim (Eds.). (1994). Negeri
Sembilan Gemuk Berpupuk Segar Bersiram: Luak Tanah Mengandung. Muzium Negeri
Sembilan Darul Khusus.
Abdullah Alwi Hassan. (1996). Islam dan Wanita. Retrieved September 16, 2018 from
https://ejournal.um.edu.my/index.php/JUD/article/download/3040/1189/
Al-Quran Al-Karim: Terjemahan & Tajwid Berwarna. (2018). Karya Bestari Sdn. Bhd.
Hamka. (2015). Tafsir Al-Azhar: Karya Agung Ulama Nusantara. PTS Islamika Sdn. Bhd.
Ismail Said & Ahmad Saifuddin Abdullah. (2001). Spesis-spesis Kayu dalam Seni Ukiran Melayu.
Universiti Teknologi Malaysia Press.
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 105 -

