Page 47 - Proceedings Collega2023
P. 47
tahap hormon. Wanita yang terhindar daripada bentan/angin meroyan akan dapat menguruskan
keluarga/ rumah tangga dengan baik dan sempurna dalam jangka masa panjang. Jika ditelitikan, proses
yang saling berkait ini memperlihatkan kearifan masyarakat Melayu dahulu menggariskan amalan
berpatang bertujuan memastikan seseorang wanita atau ibu yang sedang berpantang sentiasa menjaga
kesihatan diri, bukan sekadar untuk mencapai kesejahteraan diri sendiri malah ahli keluarga dan rumah
tangga seterusnya masyarakat.
Seni lanskap Melayu - Penggunaan rempah ratus dalam makanan orang Melayu, terutama wanita
ketika berpantang didapati berkait dengan hubungan kearifan seni lanskap taman masyarakatnya sejak
dahulu. Dalam budaya Melayu, pembinaan taman merupakan antara unsur penting yang menjadi
pelengkap dalam susun atur kediaman. Hal ini menyebabkan tanaman seperti rempah ratus, iaitu halia,
kunyit, cekur, serai, bawang putih dan lain-lain ditanam secara berterusan di sekitar/ sekeliling laman
rumah orang Melayu tradisional. Zakaria, Salleh dan Rashid (2014) seperti yang dipetik dalam Md.
Azalanshah, Azizah, dan Halijah (2019) mengatakan bahawa tumbuhan yang menjadi identiti taman
kediaman Melayu boleh dibahagikan kepada empat kategori berdasarkan fungsinya, iaitu estetika dan
kecantikan, pohon herba, pohon yang berbuah dan pohon besar. Kebanyakan kajian lepas turut
memperincikan kearifan tempatan sebagai suatu hasil interaksi masyarakat dengan alam persekitaran
yang menghasilkan binaan taman untuk pelbagai tujuan termasuklah sumber makanan, perubatan dan
estetika (Ani, A., Mohamed, N., & Rahman, N., 2012; Najiha & Nor Zalina, 2016). Dapatan ini turut selari
dengan Abdul Razak (2018) dalam Muhammad Ammar Harith, Mohd Anuar, dan Mohammaddin (2019)
yang mengatakan budaya makanan dan masakan masyarakat Melayu adalah berasaskan kepada bahan-
bahan yang mudah didapati dan berada di sekeliling mereka seperti rempah ratus, tumbuh-tumbuhan
dan perikanan. Justeru, dalam kasus kajian ini, kearifan lokal secara jelas memperlihatkan kebijaksanaan
orang Melayu dahulu menyatukan unsur alam semula jadi dengan kegunaan praktikal dalam makanan dan
masakan bagi keperluan wanita ketika berpantang; mudah diperolehi dan senang digunakan. Dahliani
(2015, p. 137) seperti yang dipetik dalam Muhammad Yusri dan Mohd Anuar (2020), mengatakan kearifan
tempatan ini juga memperlihatkan perlakuan yang positif manusia hasil daripada hubungannya dengan
alam yang menjadi rujukan untuk membentuk hubungan manusia dengan alam. Ia boleh difahami sebagai
idea setempat yang penuh hikmah dan nilai baik yang dipraktikkan oleh sekelompok manusia.
Kesimpulan
Secara kesimpulannya, didapati wujud perkaitan yang signifikan antara kepercayaan dan amalan
pemakanan tradisi dalam kalangan wanita berpantang dengan kebijaksanaan serta kearifan lokal
masyarakat Melayu. Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan pengetahuan yang ketara di antara
golongan ibu lama dan ibu muda; sehingga menyebabkan perubahan dalam kepercayaan terutama bagi
golongan ibu muda seterusnya membentuk amalan pemakanan tradisi yang berbeza-beza. Situasi ini
didapati dipengaruhi oleh globalisasi dan amalan tradisi telah disesuaikan supaya mengikut peredaran
zaman. Kepercayaan dan amalan pemakanan tradisi ini harus difahami dan diselarikan dengan
pengetahuan moden generasi hari ini. Justeru, dicadangkan agar lebih banyak kajian-kajian mengenai
kepercayaan dan amalan pemakanan tradisional serta perkaitannya dengan kearifan orang Melayu
dalam pelbagai konteks dijalankan secara lebih saintifik agar kelestarian amalan tradisi terus terpelihara
dan diwarisi oleh generasi akan datang.
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 34 -

